Archive for the ‘Anatomi dan Fisiologi’ Category

Puting Leper (Flat Nipples) dan Puting Tenggelam (Inverted Nipples)

Semua ibu dilahirkan dengan keunikan yang tersendiri. Namun fungsi payudara tetap telah ditentukan untuk penyusuan susu ibu kepada bayi. (Kerana dari situlah kita dikategorikan sebagai mamalia).

Keadaan puting leper (flat nipples) dan puting tenggelam (inverted nipples) boleh terjadi di kalangan 3-10% daripada populasi. Namun begitu keunikan yang tersendiri ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang ibu-ibu terus berusaha untuk menyusukan bayi dengan susu ibu.

Bagaimana menentukan keadaan puting adalah normal, leper atau tenggelam?

Caranya: Dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, picit dengan lembut kawasan areola pada jarak diameter 1 inci daripada puting. 

Puting yang normal akan tertonjol apabila dikenakan tekanan pada areola. Tetapi puting leper tidak tertonjol keluar manakala puting tenggelam akan tertarik ke dalam. Lihat Rajah di bawah:

"Pinch Test" Untuk Menentukan Puting Normal, Leper atau Tenggelam

"Pinch Test" Untuk Menentukan Puting Normal, Leper atau Tenggelam

Bolehkah menyusukan bayi jika puting leper atau tenggelam?

Ibu-ibu perlu yakin bahawa walau bagaimanapun bentuk dan keadaan puting (sama ada leper atau tenggelam) bayi masih boleh menyusu dengan efektif. Ibu-ibu perlu:

  1. Tetapkan keyakinan bahawa ibu boleh menyusukan bayi dengan efektif.
  2. Fahami bahawa semasa penyusuan, mulut bayi perlu merangkum areola bukannya menghisap puting semata-mata.
  3. Latih bayi melekap dengan betul seawal kali pertama bayi mula menyusu daripada ibu (1 jam pertama selepas kelahiran). Rujuk Teknik Lekapan.
  4. Berlatih dengan kerap sepanjang masa rooming-in (ibu bersama bayi di hospital) dan sepanjang masa tanpa jemu dan putus asa.
  5. Letakkan bayi pada posisi yang betul semasa penyusuan. Rujuk Posisi Penyusuan Ibu.
  6. Pelekapan yang baik boleh membantu menonjolkan puting yang leper.
  7. Menyusu bayi sebelum payudara menjadi bengkak. Pembengkakan payudara akan merumitkan keadaan kerana puting akan menjadi lebih leper/tenggelam. (Puting normal pun sukar menyusukan bayi apabila payudara bengkak).
  8. Ibu boleh juga mengepam sebelum menyusu bayi untuk menonjolkan sedikit puting supaya mudah bayi melekap dengan berkesan.

Kesimpulannya walau bagaimanapun keadaan puting sama ada normal, leper atau tenggelam, anak-anak masih berhak mendapat susu ibu daripada ibunya. Ingat! Susu ibu adalah makanan terbaik bagi bayi.

Sumber: askdrsears.com, breastfeedingbasic.com, breastfeeding.hypermart.net, babycenter.com

Refleks Prolaktin dan Oksitosin

Prolaktin dan oksitosin adalah hormon-hormon yang berperanan penting dalam penyusuan ibu di samping hormon-hormon utama wanita iaitu estrogen dan progesteron.

Semasa kehamilan, aras estrogen yang tinggi meningkatkan penghasilan prolaktin. Pada ketika ini prolaktin berperanan untuk kematangan kelenjar mamari (mamogenesis) bagi menyediakannya kepada penyusuan ibu apabila bayi lahir kelak. Namun begitu aras progesteron yang tinggi ketika itu merencat peranan prolaktin untuk merembeskan susu dalam waktu kehamilan ini.

Sebaik sahaja kelahiran berlaku, aras prolaktin akan berkurangan kerana pencetus dalamannya (iaitu plasenta) telah tiada. Oleh itu hisapan bayi akan memainkan peranan penting untuk merangsang penghasilan prolaktin selepas kelahiran ini.

Hisapan bayi akan merangsang reseptor pada puting dan areola ibu untuk mencetuskan impuls yang akan dibawa oleh sistem saraf ke otak (hipotalamus).  Ini seterusnya merangsang kelenjar pituitari (anterior) merembeskan hormon prolaktin. Hormon prolaktin seterusnya dibawa oleh aliran darah ke payudara. Di payudara, reseptor yang terdapat di sekeliling alveolus akan mengesan kehadiran prolaktin dan seterusnya merangsang kelenjar mamari menghasilkan susu ibu untuk persediaan penyusuan seterusnya.

milk-ejectionApabila alveolus penuh terisi dengan susu ibu, dinding sel mioepitelia akan mengembang dan menghalang prolaktin sampai ke reseptor di alveolus. Oleh itu apabila reseptor pada dinding alveolus mengesan kekurangan prolaktin, penghasilan susu oleh kelenjar mamari juga akan berkurangan. Sebaliknya apabila alveolus telah dikosongkan (susu telah dikeluarkan/dihisap oleh bayi), sel mioepitelia akan kembali ke bentuk asal dan seterusnya membenarkan prolaktin melaluinya untuk merangsang kelenjar mamari menghasilkan susu semula. Perembesan prolaktin ini dikenali sebagai refleks prolaktin.

Untuk memahami refleks ini dengan mudah, saya ringkaskan begini:

  • Bayi menghisap puting payudara dan mengosongkan stok susu dalam payudara
  • Prolaktin dirembes oleh kelenjar pituitari
  • Prolaktin merangsang kelenjar mamari menghasilkan susu
  • Payudara diisi dengan susu semula
  • Kehadiran susu dalam payudara merencat tindakan prolaktin
  • Jika susu di dalam payudara tidak dikeluarkan, aras prolaktin kekal rendah, maka susu baru tidak dihasilkan
  • Jika susu di dalam payudara dikeluarkan, proses penghasilan susu akan berlaku semula

Kesimpulannya: lebih kerap payudara dikosongkan lebih banyak prolaktin akan berjaya merangsang kelenjar mamari menghasilkan susu.

Namun begitu prolaktin hanya berperanan dalam penghasilan susu (laktogenesis) tetapi pancutan susu dikawal oleh hormon oksitosin yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari (posterior).

milk-secretion&milk-ejection

Hisapan bayi pada puting payudara ibu mencetuskan impuls yang dibawa oleh neuron ke otak untuk merangsang kelenjar pituitari (posterior) merembeskan oksitosin. Oksitosin seterusnya dibawa oleh aliran darah ke payudara ibu. Kehadiran oksitosin merangsang sel mioepitelia mengecut dan seterusnya merangsang pancutan susu melalui duktus laktiferus ke arah areola dan puting payudara. Tindakan ini dinamakan refleks oksitosin atau lebih dikenali sebagai let-down reflex.

Sumber: wikipedia.org, kellymom.com, colorado.edu

Peranan Hormon dalam Penghasilan Susu Ibu

Ada beberapa hormon penting yang terlibat dalam penghasilan susu ibu:

  1. Progesteron
  2. Estrogen
  3. Prolaktin
  4. Oksitosin

Penghasilan susu ibu bermula daripada peringkat mamogenesis (pembentukan dan kematangan kelenjar mamari), diikuti dengan laktogenesis (penghasilan dan pancutan susu ibu) dan seterusnya laktasi (pemberian/penyusuan susu ibu kepada bayi).

Empat hormon yang disenaraikan di atas memainkan peranan dalam ketiga-tiga fasa penyusuan ibu tersebut. Corak rembesan hormon-hormon ini merupakan suatu proses homeostasis yang mana pertambahan satu faktor akan memberi kesan (sama ada meningkatkan atau mengurangkan) rembesan hormon-hormon tersebut. Peningkatan dan pengurangan rembesan hormon-hormon ini seterusnya memberi kesan kepada kuantiti susu ibu yang dihasilkan.

Progesteron – penting semasa pembentukan dan kematangan kelenjar mamari, mempengaruhi saiz alveolus dan lobus di dalam payudara wanita hamil. Kandungannya berkurang apabila kelahiran berlaku.

Estrogen – juga merangsang perkembangan  dan kematangan kelenjar mamari.

Prolaktin – merangsang penghasilan susu ibu.

Oksitosin – merangsang pancutan susu ibu, merangsang pengecutan uterus selepas kelahiran.

……………………………………………………………………………………

Nota: Satu contoh homeostasis yang mudah… kawalan air kencing oleh ginjal. Apabila cuaca panas, kandungan air dalam badan akan berkurang kerana dikeluarkan sebagai peluh. Kekurangan kandungan air dikesan oleh reseptor akan menyebabkan hormon ADH dirembeskan dengan banyak oleh kelenjar pituitari. Kehadiran hormon ADH yang banyak akan menambahkan ketelapan tubul ginjal terhadap air, maka air yang akan dibuang sebagai air kencing diserap semula ke dalam darah. Kesannya air kencing menjadi pekat kerana kandungan air di dalamnya kurang. Keadaan sebaliknya berlaku apabila cuaca sejuk, itulah sebabnya mengapa kita kerap kencing bila hari hujan! ooppsss…

Anatomi Payudara

Penting untuk mengetahui anatomi payudara supaya kita faham bagaimana ia berfungsi dan bagaimana mengekalkan fungsinya… (bukan senang untuk mengekalkan penghasilan susu berterusan selama 6 bulan dan seterusnya 2 tahun!)

Mammary Glands
Mammary Gland

Kelenjar Mamari
Kelenjar mamari atau kelanjar susu adalah suatu organ yang terdapat pada mamalia betina (perempuan) untuk menghasilkan susu untuk anaknya. Kelenjar eksokrin ini merupakan ciri mamalia iaitu menyusukan anak dan juga daripada mana nama kelas “mamalia” itu sendiri terhasil.

Struktur kelenjar susu.
Komponen asas kelenjar susu adalah alveolus yang dilapisi sel perembes susu dan dikelilingi oleh sel mioepitelia. Alveolus ini berkumpul untuk membentuk sekumpulan lobus dan setiap lobus mempunyai duktus laktiferus yang menjurus ke bukaan pada puting susu. Sel mioepitelia boleh mengecut, sama seperti sel otot, dan seterusnya menolak susu daripada alveolus melalui duktus laktiferus ke arah puting di mana susu akan terkumpul pada duktus sinus di bawah areola.

Perkembangan dan kawalan hormon
Perkembangan kelenjar susu dikawal oleh hormon. Kelenjar susu sebenarnya terdapat pada kedua-dua jantina lelaki dan perempuan. Namun begitu kesan rembesan hormon pada ovari merangsang perkembangan kelenjar susu pada perempuan. Hormon estrogen menggalakkan perkembangannya manakala hormon testosterone merencat pertumbuhannya.

Pembentukan kelenjar susu sudah terbentuk sejak kelahiran lagi, iaitu pembentukan duktus laktiferus tetapi tiada alveolus. Semasa akil baligh hormon estrogen mula dirangsang untuk menghasilkan cabang-cabang duktus yang kemudiannya akan berkembang menjadi alveolus. Alveolus sebenar hanya akan terbentuk semasa kehamilan dengan pertambahan hormon estrogen dan progesteron yang akan membentuk lebih banyak cabang duktus serentak dengan pembentukan lebih banyak tisu adipos dan salur-salur darah.

Kolustrum akan mula dihasilkan pada peringkat akhir kehamilan dan seterusnya pada hari-hari awal selepas kelahiran. Susu sebenar akan dihasilkan beberapa hari selepas itu apabila kandungan progesteron mula menurun manakala kandungan prolaktin mula meningkat. Hisapan bayi akan merangsang pengeluaran oksitosin yang akan merangsang pengecutan sel mioepitelia yang menyebabkan pancutan susu.

Selamat Datang
Selamat Datang ke laman blog Mom's Choice. Semoga bakal ibu (dan bapa) mendapat manfaat daripada pengkongsian ilmu berkaitan Penyusuan Ibu dalam laman ini.
Takwim
October 2014
M T W T F S S
« Jul    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  
Tags
Copy Protected by Chetans WP-Copyprotect.