Archive for the ‘Penyusuan Eksklusif’ Category

Kekangan dalam menjayakan Penyusuan Ibu

Seringkali ibu-ibu baru yang bercadang untuk menyusukan anaknya dengan susu ibu secara eksklusif akan menghadapi kekangan dan cabaran seperti berikut:

  1. Kita hidup di dalam masyarakat yang menganggap penyusuan susu formula adalah lumrah (perkara biasa) untuk bayi.
  2. Masyarakat sedar penyusuan ibu adalah baik untuk bayi dan ibu tetapi susu formula masih dilihat pilihan yang baik, tambahan pula dalam keadaan penyusuan ibu tidak begitu berjaya.
  3. Ibu-ibu baru tidak mendapat sokongan keluarga, saudara mara dan rakan-rakan yang menyokong penyusuan ibu atau yang berjaya dalam penyusuan ibu untuk berkongsi pendapat, pengetahuan dan pengalaman.
  4. Profesional kesihatan seperti doktor dan jururawat menerima penyusuan susu formula adalah penyelesaian kepada masalah penyusuan ibu tanpa memberi nasihat /cadangan bagaimana mengatasi masalah penyusuan ibu yang dialami.
  5. Agensi kerajaan tidak memahami kepentingan penyusuan ibu dan mengapa kerajaan harus memperbanyakkan usaha mempromosikan penyusuan ibu.
  6. Media massa memperoleh pendapatan lumayan daripada pengiklanan susu formula tanpa menghiraukan kesan buruk pengaruhnya kepada masyarakat umum.
  7. Syarikat susu formula membelanjakan wang yang banyak untuk promosi yang ada ketikanya melanggar etika yang digariskan dalam kod etika WHO berkaitan promosi dan pemasaran susu formula.
  8. Pandangan umum mengatakan ibu-ibu tidak perlu merasa “bersalah” sekiranya tidak menyusukan anak mereka dengan susu ibu. 

Pendapat umum #1: Kita selalu menganggap jika penyusuan ibu tidak berjaya, penyusuan susu formula adalah pilihan kedua terbaik untuk menyusukan bayi.

Hakikatnya: WHO telah menggariskan secara jelas bahawa susu formula bukanlah pilihan kedua terbaik selepas susu ibu. Pilihan kedua ialah penyusuan susu ibu yang diperah. Jika gagal juga maka pilihan ketiga ialah susu ibu daripada ibu susuan. Jika tidak dapat diperolehi maka barulah susu formula boleh diberikan kepada bayi (pilihan keempat!)

Pendapat umum #2: Profesional perubatan seperti doktor dan jururawat tahu banyak perkara berkaitan penyusuan ibu (atau penyusuan yang sesuai untuk ibu berikan kepada bayinya).

Hakikatnya: Memang semua profesional perubatan menyokong penyusuan ibu kerana agak sukar menafikan kebaikan susu ibu berbanding susu formula. Tambahan pula hampir semua hospital telah menggariskan polisi penyusuan ibu di hospital masing-masing. Namun ramai profesional perubatan tidak dapat membantu ibu sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah berkaitan penyusuan ibu. Ketidakupayaan ini mungkin berpunca daripada pengalamannya sendiri. Pasti sukar memberi nasihat atau galakan kepada ibu-ibu untuk menyusukan bayinya dengan susu ibu sedangkan diri sendiri gagal memberikan susu ibu kepada anaknya. Malah ramai doktor mengakui penyusuan ibu tidak ada di dalam sukatan pelajaran ketika di universiti.

Kenalpasti antara tanda-tanda atau petunjuk seseorang profesional perubatan (doktor/jururawat) menyokong penyusuan ibu:

  • Tidak mempamerkan bahan cetak atau logo mana-mana syarikat pengeluar susu formula di kliniknya termasuk carta pertumbuhan kanak-kanak.
  • Poster, brosur dan maklumat penyusuan ibu dipamerkan di klinik.
  • Menyenaraikan kumpulan sokongan yang boleh dirujuk oleh ibu-ibu sekiranya menghadapi masalah penyusuan ibu.
  • Tidak menyebarkan brosur atau risalah (walaupun berkaitan penyusuan ibu) daripada syarikat pengeluar susu formula.
  • Tidak memberikan “gift pack” berupa sampel susu formula.
  • Sebelum bersalin, ibu-ibu diberi nasihat dan panduan berkaitan penyusuan ibu dan kepentingan penyusuan ibu pada 1 jam pertama selepas kelahiran.

 Kod Antarabangsa Pemasaran Susu Formula (1981).

  • Syarikat pengeluar susu formula tidak boleh memasarkan secara terus sebarang produk (susu formula, botol atau puting tiruan, dan makanan tambahan) kepada pengguna. Wakil syarikat pengeluar tidak dibenarkan mempromosikan produk mereka kepada wanita hamil, ibu-ibu baru atau ahli keluarga mereka terutamanya di wad bersalin, klinik atau hospital.
  • Syarikat pengeluar susu formula tidak dibenarkan memberikan sampel percuma atau potongan harga istimewa kepada wanita hamil, ibu-ibu baru atau ahli keluarga mereka.
  • Informasi saintifik berkaitan susu formula hanya boleh diberikan kepada profesional perubatan.
  • Informasi berkaitan penyusuan untuk bayi hanya boleh diberikan oleh kerajaan bukannya oleh syarikat pengeluar susu formula.
  • Semua sumbangan derma atau peralatan perubatan daripada syarikat pengeluar susu formula kepada pihak tertentu (klinik / hospital) perlu diumumkan secara terbuka dan tiada keistimewaan boleh diberikan kepada syarikat tersebut kerana sumbangannya itu. 

Persoalannya.. adakah kod etika ini dipatuhi sepenuhnya di negara kita??

Sumber: The Ultimate Breastfeeding Book of Answers by Jack Newman, M.D., and Teresa Pitman.

Mitos vs Fakta berkaitan Penyusuan Ibu

10 mitos yang popular berkaitan penyusuan susu ibu:

Mitos #1: Payudara ibu menyusu akan lebih cepat mengendur.

Fakta #1: Payudara ibu memang akan bertambah saiznya sepanjang 9 bulan kehamilan (kerana proses mamogenesis –pembentukan kelenjar mamari untuk persediaan menghasilkan susu apabila bayi lahir kelak). Jika ibu tidak menyusukan bayinya selepas bayi lahir, saiz payudara ibu akan menurun dengan cepat dan drastik manakala saiz payudara ibu yang menyusukan bayinya akan menurun secara perlahan-lahan.

Mitos #2: Bayi asyik “melekat” dengan ibu.

Fakta #2: Ibu adalah orang pertama yang bayi kenali, mengandungkannya 9 bulan, menyusukannya secara eksklusif 10-12 kali sehari, memang tidak dinafikan bayi akan rapat dengan ibunya. Tetapi jangka masa “melekat” dengan ibu sebenarnya amatlah singkat, mungkin 6 bulan sahaja, 2 tahun atau mungkin lebih sehingga 3 tahun atau 5 tahun. Bandingkan jangka hayatnya sehingga 70 tahun. 5 tahun daripada 70 tahun adalah amat singkat. Malah sebenarnya bayi yang menyusu ibu lebih berdikari, lebih rasa selamat, kurang menangis dan lebih berkeyakinan kerana dia telah merasa puas didakap, dibelai dan dimanja sewaktu tempoh dia menyusu dengan ibunya.

Mitos #3: Susu ibu tidak sesedap susu formula.

Fakta #3: Sedap bukan ukuran kualiti makanan berkhasiat. Banyak makanan “sedap” mengundang masalah kesihatan. Susu ibu mengandungi banyak nutrien. Kandungan gula dalam susu ibu 6.8 g berbanding hanya 4.8 g dalam susu formula. Tetapi gula di dalam susu ibu adalah gula ringkas yang lebih mudah dicerna dan diserap oleh usus bayi berbanding gula kompleks yang terkandung di dalam susu formula. Oleh itu bayi mendapat nutrien lebih mudah daripada susu ibu.

Mitos #4: Susu formula mengandungi pelbagai nutrien.

Fakta #4: Terpengaruh dengan iklan susu formula di media yang mewar-warkan “khasiat dan nutrien” yang terkandung di dalam susu formula. Hakikatnya susu ibu mengandungi lebih 300 nutrien dan sebahagiannya belum dapat dikenalpasti oleh para saintis. Malah susu ibu mengandungi antibodi, enzim dan protein yang tidak mungkin dapat ditiru oleh mana-mana susu formula di dunia.

Mitos #5: Payudara kecil, susu kurang.

Fakta #5: Semua ibu secara semula jadinya boleh menghasilkan susu yang mencukupi untuk bayinya. Saiz payudara tidak mencerminkan saiz kelenjar mamari kerana mungkin saja saiz yang besar disebabkan kapasiti lemak yang tinggi.

Mitos #6: Kolostrum adalah susu kotor, nanah daripada payudara.

Fakta #6: Kolostrum berwarna kekuningan dan agak pekat, tidak menyerupai susu matang yang cair. Kolostrum hanya hadir pada 3 atau 4 hari-hari pertama hayat seorang bayi dan hanya sekali itu sahaja dalam tempoh 6 bulan atau 2 tahun tempoh penyusuannya. Ia tidak akan berulang! Kolostrum mengandungi antibodi yang melindungi sistem pencernaan bayi. Kolostrum adalah makanan pertama yang paling baik untuk bayi. Susu formula tidak dapat meniru kolostrum susu ibu. Kolostrum yang dijual di pasaran adalah ekstrak kolostrum susu lembu tetapi tidak sesuai untuk bayi.

Mitos #7: Ibu menyusu tidak boleh minum/makan makanan sejuk, ibu menyusu perlu waspada pengambilan makanan.

Fakta #7: Ibu menyusu (malah semua orang sebenarnya) perlu menjaga pemakanan dan mengamalkan pengambilan makanan yang sihat. Makan secara sederhana dan mengikut keperluan badan. Bagi ibu menyusu yang gemarkan minuman berkafein (kopi), ibu boleh minum kopi sebaik sahaja selepas menyusu. Rasionalnya ialah kafein dalam kopi telah selesai dicernakan, dicairkan dan dikumuhkan apabila tiba masa penyusuan seterusnya iaitu 2 jam kemudian. Oleh itu kepekatan kafein dalam darah sudah menurun. Kaedah ini juga boleh dipraktikkan bagi ibu yang perlu mengambil ubat-ubatan tertentu.

Mitos #8: Susu ibu terlalu cair (banyak air).

Fakta #8: Jika susu ibu yang diperah ke dalam botol diletakkan di atas meja seketika, kita akan dapat melihat susu ibu itu menjadi 3 lapisan iaitu warna keruh cair di lapisan paling bawah diikuti susu kekuningan di tengah dan susu putih pekat lemak berkrim di lapisan paling atas. Tetapi keadaan adalah sebaliknya bagi susu formula, lapisan cair paling atas manakala lapisan pekat di bawah (lemak berketumpatan tinggi). Bagi susu ibu, 80% kandungan adalah air. Susu ibu terdiri daripada susu awal (foremilk) untuk menghilangkan dahaga dan susu akhir (hindmilk) untuk mengenyangkan bayi. Naluri semulajadi manusia minum kerana dahaga, maka itulah yang diberi oleh ibu terlebih dahulu kepada bayinya melalui susu awal (foremilk) yang mengandungi lebih air dan laktosa. Kemudian barulah susu akhir yang pekat (kandungan lemak tinggi) yang akan mengenyangkannya.

Mitos #9: Puting susu ibu perlu dicuci sebelum menyusukan bayi.

Fakta #9: Puting payudara ibu bersifat antibakteria. Kajian yang dijalankan untuk melihat reaksi bayi pada sentuhan pertama kulit ke kulit (1 jam pertama selepas kelahiran) menunjukkan kecenderungan bayi untuk memilih puting susu ibu yang tidak dicuci berbanding puting susu ibu yang telah dicuci kerana bau semulajadi ibu lebih menarik bayi. Bintil- bintil kecil di sekeliling payudara mengandungi bahan pelincir (sebum) yang bersifat antibakteria. Mencuci payudara memadai dengan mandi seperti biasa 2 kali sehari, tidak perlu mencuci dengan sabun, bahan pencuci seperti Dettol dan sebagainya.

Mitos #10: Penyusuan ibu mengambil nutrien daripada ibu. Ibu perlu makan lebih.

Fakta #10: Nutrien dalam susu ibu bergantung kepada nutrisi ibu. Oleh itu ibu yang menyusu (dan sesiapa sahaja sebenarnya) perlu mengambil nutrisi seimbang untuk mengoptimumkan kesihatannya. Ibu boleh makan apa sahaja tetapi dalam kuantiti yang betul dan sentiasa awasi jika terdapat tanda-tanda alahan kepada bayi, maka ibu harus waspada dengan pengambilan makanannya. Risiko osteoporosis di kalangan ibu-ibu menyusu lebih rendah berbanding wanita yang tidak menyusu.

p/s Thanks to Shida (charantya) kerana berkongsi info ini. Adaptasi daripada hasil perjumpaan Mother-to-Mother Peer Support Group, Penang pada April 2008. Mitos dan fakta dikemukakan oleh Dr. Jamie (dan sedikit penambahan dan ubahsuaian daripada saya).

Penyusuan Eksklusif perlukan usaha dan kesabaran

Soalan daripada azza:

salam kak nieza….saya sedang hamil anak ke-3..saya teringin bf anak2 saya secara ekslusif tapi tak pernah berjaya. Pengalaaman saya di hospital swasta,.sebaik lepas melahirkan..nurse2 sebok nak tolong bg susu formula..Alasannye takut anak kena jaundis kalau tak cukup minum susu..Jadi saya yg tak cukup pengalaman tpaksa membiarkn mrk bg formula susu pada anak saya…
Bila balik ke rumah ..saya cuba juga bf anak..tapi dah mula campur dgn susu formula sbb suami juga risau anak tak cukup susu….Hari kedua dan ketiga susu dah mula keluar..tapi saya perasan,susu cuma keluar di tgh2 puting sahaja….kata mak saya sepatutnye puting payu dara ade lebih dr satu lubang..sebab itula anak saya tak puas bila bf. Betul ke kak niza cakap emak saya tu?

Salam azza, di sini akak beri jawapan, nasihat dan panduan:

1. Sebelum melahirkan bayi iaitu ketika hamil, tanamkan di dalam fikiran dan niatkan di dalam hati bahawa azza hendak menyusukan bayi secara eksklusif apabila bayi lahir nanti. Tanamkan sikap positif bahawa susu ibu pasti ada sebaik bayi dilahirkan nanti. Buat persediaan secukupnya termasuk usahakan utk mencari dan membaca seberapa banyak info berkaitan penyusuan ibu termasuk juga kesukaran2 yg mungkin akan berlaku supaya kita benar2 bersedia dan tidak mudah patah semangat. Ajak juga suami, ibu atau ibu mertua berkongsi info yang kita perolehi itu.

2. Sebaiknya sebelum melahirkan bayi (terutama di hospital bukan rakan bayi = hospital yg kurang menekankan bf), beritahu kepada doktor/nurse/bidan bahawa azza nak menyusukan bayi sebaik sahaja bayi lahir nanti. (baca kepentingan menyusu pada 1 jam pertama kelahiran dan amalan di hospital rakan bayi). Selepas bayi lahir pun jika nurse tidak membawa bayi kpd azza, minta nurse ambilkan bayi segera. Jika kelahiran secara ceaser, ibu kena pandai2 adjust position supaya tidak menyakitkan bhg pembedahan (lihat posisi penyusuan ibu).

3. Untuk mengelakkan dan mengurangkan jaundis pada bayi baru lahir, penyelesaian terbaik ialah dengan memberi bayi susu ibu secukupnya BUKAN dengan susu formula!

4. Pada hari2 awal (hari 1-3) biasanya susu ibu yang putih dan cair belum lagi muncul. Ini menyebabkan ramai ibu membuat kesimpulan bahawa mereka “tidak ada susu”, “kurang susu”, “memang keturunan tak banyak susu” (mak sendiri pun pernah cakap camni!) dan macam2 lagi kesimpulan yg negatif. Hakikatnya susu yang hadir ketika itu hanyalah kolostrum yg pekat, berwarna kekuningan dan sedikit. Namun yg pekat, kuning dan sedikit itulah makanan terbaik dan mencukupi utk bayi baru lahir. JANGAN buang kolostrum itu kerana kolostrum hanya hadir sekali itu sahaja sepanjang hayat anak itu! Baca info mengenai kolostrum selanjutnya.

5. Mulai 1 jam pertama kelahiran, beri bayi menyusu seberapa kerap yg bayi mahu atau setiap 1-2 jam sekali. Penyusuan kerap akan merangsang penghasilan lebih banyak susu. Maka tidak akan terjadi isu “tiada susu” atau “susu kurang”.  Memberi bayi susu formula atau air masak akan mendedahkan bayi kepada ”pencemaran”. Sebab itu penyusuan eksklusif bermaksud SUSU IBU SAHAJA tanpa susu formula atau air masak sekali pun. Baca selanjutnya kenapa bayi kurang 6 bulan tidak perlu air tambahan.

6. Pada setiap puting ada lebih kurang 15-20 liang susu. Liang2 ini perlu dibersihkan supaya tidak tersumbat dan memudahkan pengaliran keluar air susu ibu. Selalu dinasihatkan pada akhir kehamilan, ibu2 digalakkan mencuci liang2 puting dengan air bersih ketika mandi pagi. Sekali sudah mencukupi… jgn kerap2 kerana tindakan ini dikhuatiri merangsang pengecutan rahim pula. Elakkan menggunakan sabun kerana ia boleh menyebabkan kawasan puting menjadi kesat.

Harap jawapan ini dapat memjadi panduan untuk azza dan juga ibu2 lain. Semoga berjaya menyusukan anak ke3 ini secara eksklusif. :)

Uniknya Susu Ibu

Salam Maal Hijrah 1430H dan Selamat Tahun Baru 2009.

Percayalah bahawa susu ibu itu begitu unik dan tiada tolok bandingnya. Kerana susu ibu…

  1. sentiasa segar (fresh)
  2. tersedia dalam suhu yang optimum
  3. tersedia steril
  4. tiada pencemaran
  5. tersedia bila-bila masa
  6. tiada tarikh luput
  7. species-specific
  8. susu yang paling sempurna dan paling lengkap untuk bayi
  9. hanya diperolehi secara semulajadi apabila melahirkan anak
  10. mengandungi semua nutrien yang perlu untuk bayi
  11. mengandungi sel hidup / leukosit, hormon, enzim
  12. mengandungi antibodi
  13. mengurangkan risiko jangkitan semua jenis penyakit
  14. tidak pernah/amat jarang sekali memberi kesan alahan atau alergi
  15. mudah hadam
  16. komposisinya berbeza untuk bayi pramatang dan bayi cukup bulan
  17. komposisinya berbeza mengikut umur bayi
  18. komposisinya berbeza dalam tiap jam dan hari
  19. komposisinya berbeza dalam 1 penyusuan (awal dan akhir)
  20. mencetuskan rasa ketenangan kepada bayi dan ibu (sebab itu selalunya bayi akan tertidur selepas menyusu… dan ibu juga!)

Banyak lagi 1001 sebab dan keunikan susu ibu. Sebab itu US FDA pernah mengakui bahawa “…the exact chemical makeup of breast milk is still unknown.” Malah khasiat dan komposisi susu ibu tidak mampu ditiru oleh mana-mana susu lain di dunia! Subhanallah…

“Foremilk” dan “Hindmilk”

Dalam satu penyusuan, susu ibu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu susu awal (foremilk) dan susu akhir (hindmilk).

Apabila bayi mula menyusu, dia akan mendapat susu awal (foremilk) yang agak cair (mengandungi air yang banyak, kurang lemak dan tinggi karbohidrat) yang berperanan untuk menghilangkan dahaga bayi.

Manakala di akhir penyusuan bayi akan mendapat susu yang agak pekat (hindmilk) dan mengenyangkan kerana mengandungi kurang air (berbanding foremilk) dan lemak yang tinggi. Hindmilk mengandungi kalori yang tinggi dan ini penting untuk memberi tenaga serta penting untuk tumbesaran bayi.

Foremilk & Hindmilk

Foremilk & Hindmilk

Description: Two 25ml samples of human breast milk. The left hand sample is Foremilk, the watery milk coming from a full breast. The right hand sample is Hindmilk, the creamy milk coming from a nearly empty breast. (Source: wikipedia.org)

Oleh itu, pastikan ibu-ibu membiarkan bayi menghabiskan sebelah payudara sepenuhnya dan tidak bertukar ke payudara yang satu lagi untuk memastikan bayi mendapat kedua-dua foremilk dan hindmilk tersebut.

Bayi kurang 6 bulan tidak perlu air tambahan

Telah ditakrifkan bahawa penyusuan bayi secara eksklusif selama 6 bulan adalah pemberian SUSU IBU SAHAJA.

Tahukah anda bahawa bayi yang menyusu secara eksklusif tidak memerlukan tambahan air lain termasuk air masak atau air kosong, glukosa, jus, air teh, kopi dan sebagainya ?

Pemberian air kepada bayi boleh mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan bayi kerana:

  1. Pemberian air masak (atau air-air lain) meningkatkan risiko jangkitan penyakit kerana air akan bertindak menghakis salutan bahan pelindung penyakit (immunoglobulin A, IgA) yang diperolehi daripada susu ibu yang menyaluti saluran pencernaan bayi.
  2. Pemberian air lain akan meningkatkan kebarangkalian kegagalan penyusuan ibu secara eksklusif kerana apabila bayi telah kenyang dengan minuman lain, bayi akan kurang menyusu daripada ibu dan mengurangkan rangsangan dan seteruskan mengurangkan penghasilan dan pengeluaran susu ibu.
  3. Pemberian air lain juga boleh meningkatkan risiko kekurangan zat makanan kepada bayi kerana bayi akan kurang minum susu ibu, oleh itu bayi akan kurang mendapat nutrien daripada susu ibu.
  4. Pemberian air kosong akan meningkatkan risiko “keracunan air”  atau water intoxication terutama kepada bayi yang berumur kurang daripada 5 minggu kerana air yang terlalu banyak akan mencairkan kandungan garam di dalam darah yang mengakibatkan suhu badan menjadi rendah, bayi mengalami kembung perut dan juga boleh mengakibatkan sawan tarik.

Kandungan air di dalam susu ibu adalah sekitar 80-90% sudah mencukupi untuk bayi, sesuai dengan usianya. Jadi bayi yang menyusu secara eksklusif selama 6 bulan tidak memerlukan air tambahan kerana susu ibu sudah memenuhi semua keperluannya untuk air, zat makanan, dan kasih sayang.

Amalan Hospital Rakan Bayi

Terdapat beberapa amalan penting yang biasa dilakukan di hospital terutama hospital rakan bayi untuk membantu ibu-ibu menjayakan penyusuan eksklusif ke atas bayi seperti berikut:

1. Penyusuan awal dalam tempoh 1 jam pertama selepas bersalin

Rasionalnya:

  • merangsang proses penghasilan dan pengaliran susu yang cepat dan berterusan
  • memastikan bayi mendapat kolostrum yang menjadi imunisasi pertama bayi
  • bayi mempunyai naluri hisapan (rooting reflex) yang kuat sebaik sahaja dilahirkan
  • membantu mempercepatkan pengecutan uterus untuk mengelakkan pendarahan berterusan atau tumpah darah selepas bersalin
  • mengeratkan kasih sayang ibu dan anak

2. “Rooming-in” – bayi diletakkan bersama ibu sepanjang masa

Rasionalnya:

  • bayi dapat disusukan bila-bila masa
  • mudah meneruskan penyusuan eksklusif
  • merangsang pengaliran dan penghasilan susu ibu
  • mengelakkan bengkak payudara
  • mengeratkan kasih sayang ibu dan anak
  • mengurangkan infeksi/jangkitan

3. “On Demand Feeding” – menyusu mengikut kehendak bayi

Rasionalnya:

  • menyusu dengan kerap mengikut kehendak bayi
  • mudah meneruskan penyusuan eksklusif
  • merangsang pengaliran dan penghasilan susu ibu
  • mengelakkan bengkak payudara
  • membantu mempercepatkan pengecutan uterus untuk mengelakkan pendarahan berterusan atau tumpah darah selepas bersalin
  • mengeratkan kasih sayang ibu dan anak

4. Tidak memberi bayi baru lahir minuman atau makanan lain selain susu ibu

Rasionalnya:

  • memastikan bayi mendapat kolostrum yang merupakan imunisasi penting untuknya
  • sistem pencernaan bayi baru lahir masih belum matang untuk memproses makanan atau minuman lain selain susu ibu
  • minuman atau cecair lain menghakis salutan bahan pelindung penyakit yang diperolehi oleh bayi melalui susu ibu
  • mengelakkan risiko infeksi/jangkitan dan cirit birit
  • memudahkan ibu meneruskan penyusuan eksklusif
  • merangsang pengaliran dan penghasilan susu ibu
  • mengelakkan bengkak payudara

5. Bayi tidak diberi puting tiruan atau puting kosong atau pacifier

Rasionalnya:

  • mengelakkan masalah keliru puting
  • menyebabkan kurang rangsangan ke atas payudara ibu
  • memastikan bayi dapat mempraktikkan lekapan yang betul pada payudara ibu
  • mengelakkan penolakan puting ibu oleh bayi
  • memudahkan ibu meneruskan penyusuan eksklusif
  • merangsang pengaliran dan penghasilan susu ibu
  • mengelakkan bengkak payudara

Kolostrum

Adalah biasa bagi ibu yang baru melahirkan anak mengalami “kurang susu” atau “tiada susu” pada hari-hari awal selepas kelahiran bayi kerana pada 3 hari pertama itu yang dihasilkan hanyalah kolostrum yang pekat, melekit, berwarna kekuningan dan tidak menyerupai air susu.

Kolostrum adalah makanan pertama yang paling baik untuk bayi baru lahir kerana kolostrum mengandungi antibodi yang tinggi untuk melindunginya daripada jangkitan penyakit. Ia kurang lemak, tinggi karbohidrat, tinggi protein dan mudah dihadam. Kolostrum juga membantu mengkumuhkan mekonium (najis pertama bayi di dalam kandungan) dan bilirubin serta seterusnya akan mengelakkan jaundis (demam kuning).

Kolostrum mengandungi immunoglobulin A (IgA) yang menyaluti saluran pencernaan bayi untuk melindunginya daripada jangkitan kuman terutama daripada mukus pada trakea, esofagus atau di sepanjang saluran pencernaan atau kuman-kuman daripada persekitaran. Semasa di dalam kandungan, bayi menerima immunoglobulin G (IgG) daripada ibu melalui plasenta. IgG bertindak melalui sistem peredaran darah iaitu melindungi bayi daripada dalam tetapi IgA melindunginya daripada luar.  Kolostrum juga mengandungi sel darah putih (leukosit) yang melawan antigen yang terdiri daripada bakteria dan virus.

Kolostrum bukan sahaja makanan pertama dengan nutrisi yang lengkap bagi bayi baru lahir tetapi yang lebih penting ia melindungi bayi daripada jangkitan. Kolostrum akan digantikan dengan susu matang dalam beberapa hari kemudian. Ia hanya hadir sekali itu sahaja, jadi berilah peluang untuk bayi mendapat imunisasi semulajadinya yang pertama pada hari-hari pertama hayatnya supaya dia dilindungi daripada kuman-kuman yang ada di persekitaran kita ini.

Cara Menggalakkan Pengeluaran Susu Ibu

Berikut saya senarai antara langkah-langkah yang perlu diambil bagi menggalakkan pengeluaran susu ibu dan seterusnya mengatasi masalah kekurangan susu atau tidak cukup susu:

  1. Ibu perlu yakin (berfikiran positif)
  2. Ibu perlu mulakan penyusuan seawal 1 jam selepas bersalin
  3. Ibu perlu menyusukan bayi bila-bila perlu (on-demand) atau sekerap mungkin (biasanya 8-10 kali dalam 24 jam)
  4. Ibu tidak perlu menghadkan tempoh masa penyusuan dan kekerapan penyusuan sehari
  5. Ibu perlu sentiasa bersama bayi (rooming in) semasa di hospital
  6. Ibu perlu memastikan bayi melekap dengan betul pada payudara ketika menyusu
  7. Penyusuan pada waktu malam
  8. Ibu perlu berehat secukupnya
  9. Ibu perlu mengambil makanan berkhasiat secukupnya dan nutrisi seimbang
  10. Bayi tidak diberi minuman lain selain susu ibu sahaja
  11. Bayi tidak diberi puting tiruan, puting kosong atau pacifier untuk mengelak keliru puting

Pengeluaran susu ibu akan berkurangan jika ibu rungsing, stress, tidak yakin, bimbang, malu, dalam kesakitan, merokok atau minum minuman keras!

Penyusuan Ibu… sesuatu yang perlu dipelajari

Ramai menganggap (termasuk saya sendiri pada mulanya) bahawa penyusuan ibu adalah suatu fenomena biologi yang akan berlaku secara semula jadi apabila seorang ibu melahirkan anak. Justeru apabila menghadapi masalah atau keadaan seperti kuantiti air susu ibu semakin berkurang, kita juga menganggap ia adalah perkara biasa saja… tidak dapat dielak dan tidak dapat diperbaiki.

Namun begitu, penyusuan ibu adalah sesuatu yang perlu dipelajari dan diberi perhatian penuh sekiranya kita berazam untuk melengkapkan penyusuan ibu secara eksklusif selama 6 bulan dan seterusnya 2 tahun atau lebih. Semasa ibu-ibu sibuk membuat persiapan menyambut kelahiran bayi, ramai terlupa atau tidak mengendahkan untuk menambah pengetahuan tentang penyusuan ibu sebaliknya sibuk dengan persiapan-persiapan fizikal seperti baju bayi, katil, mainan, alatan mandian dan lain-lain. Perkara-perkara tersebut memang perlu diberi perhatian kerana kita mahukan yang terbaik untuk anak-anak kita. Namun ada satu yang TERBAIK yang kita lupakan iaitu SUSU IBU. Siapa berani menyangkal yang susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi???  Jadi berikan yang terbaik untuk bayi kita iaitu SUSU IBU. Sesungguhnya tiada susu di dunia yang mampu menandingi kehebatan susu ibu, malah pengeluar-pengeluar susu formula di dunia masih terus berusaha untuk menghasilkan susu formula yang “menyamai” khasiat susu ibu. Tetapi saya amat percaya yang original itulah yang terbaik dan tiada tandingannya!

Selamat Datang
Selamat Datang ke laman blog Mom's Choice. Semoga bakal ibu (dan bapa) mendapat manfaat daripada pengkongsian ilmu berkaitan Penyusuan Ibu dalam laman ini.
Tags
Takwim
August 2010
M T W T F S S
« Jul    
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031