Archive for the ‘Metodologi/Teknik’ Category

Pengendalian Susu Ibu untuk perjalanan jauh

Bismillahirrahmanirrahim….

Kerap juga saya mendapat persoalan tentang bagaimana mengendalikan susu perahan yang telah disejukkan atau dibekukan untuk perjalanan jauh seperti ini….

mohon pendapat n nasihat panduan penyimpanan susu ibu bagi perjalanan jauh.saya tinggal baby dikampung n sy pam susu utk simpan.setiap minggu sy blk utk bwk blk susu dlm bekas sejuk.soalannya :bila sampai dikg susu telah cair,blhkah sy simpan ditempat beku lg?soalannya:apa yg sy bc sekiranya susu yg dh dibeku bila dh cair xblh masuk tempat beku lg,bila cair susu itu bertahan selama 48 jam shj,cmne klau sy bwk blk dlm kuantiti yg byk,mayb baby xsempat nk habiskn dlm masa 2 hari..sekiranya dpt dihabiskan baby tiada stok lain….

mohon sgt pendapat sbb xde pengalaman penyimpanan susu ibu
tq

Penjelasan saya…

Memang susu perahan yang beku lebih sukar untuk dikendalikan kerana kita perlu memastikan susu perahan tersebut kekal beku sepanjang perjalanan sehingga tiba ke destinasi. Namun begitu agak sukar untuk mendapat bekas penyimpan sejuk yang mampu mengekalkan suhu beku seperti di dalam freezer di rumah kita.

Apabila susu perahan yang beku telah mencair dalam perjalanan tersebut, mahu tidak mahu kita terpaksa akur bahawa susu perahan itu TIDAK BOLEH dibekukan semula dan perlu digunakan dalam tempoh 24 jam. Agak malang jika kuantiti susu sangat banyak berbotol-botol…. adalah mustahil untuk menghabiskannya dalam tempoh tersebut. Jika di habiskan maka tiadalah stok untuk bayi untuk hari-hari seterusnya….

Apa yang boleh saya cadangkan dalam kes puan ialah susu perahan yang dibawa dalam perjalanan adalah SUSU PERAHAN SEJUK bukan susu perahan beku. Susu perahan sejuk lebih mudah dikendalikan.

susu beku

 

Gunakan ice pack yang tahan sejuk lebih lama yang sesuai untuk jarak perjalanan tersebut. Jika ice pack mencair tukarkan dengan ice pack baru yang masih beku. Alternatif lain yang boleh digunakan jika tiada ice pack tambahan ialah beli ketulan-ketulan ais di kedai makan atau R&R untuk mengekalkan suhu sejuk di dalam bekas penyimpan susu.

Ini bermakna stok susu ibu yang disimpan terdiri daripada susu perahan sejuk sahaja. Bolehkah?

Soalan saya… adakah puan balik kampung untuk menghantar susu perahan setiap minggu? Jika jawapannya YA, maka puan tidak perlu menyimpan susu dalam keadaan beku. Susu perahan boleh disimpan dalam bahagian sejuk biasa dari hari Isnin sehingga Jumaat.

Bagaimana ya? Semestinya puan akan memerah susu setiap hari bekerja bermula dari hari Isnin sehingga Jumaat/Sabtu. Susu yang diperah pada hari Isnin boleh disimpan di dalam peti sejuk (bahagian sejuk biasa) tidak perlu dibekukan. Susu perahan yang disimpan di bahagian sejuk biasa tahan sehingga 5-7 hari . Ini bermakna menjelang hari Jumaat susu perahan itu baru disimpan 4 hari maka ia masih boleh dibawa dalam keadaan sejuk biasa hingga ke kampung. Apabila tiba di kampung, gunakan susu yang paling awal diperah dahulu, iaitu susu hari Isnin. Jika stok hari Isnin itu sangat banyak, barulah puan simpan di dalam bahagian beku (freezer) untuk memanjangkan tempoh hayatnya. Oleh itu tidak perlu menyimpan stok susu beku jika puan balik menghantar susu setiap minggu.

Pastikan susu perahan dikendalikan dengan tahap kebersihan maksima semasa sesi perahan dan penyimpanan. Pastikan dilabel dengan tarikh. Boleh juga gunakan buku log untuk merekod hasil perahan setiap hari supaya mudah mengendalikannya apabila tiba di kampung.

Harap penjelasan ini dapat membantu. Semoga berjaya ūüôā

 

p/s ¬†gambar stok susu kepunyaan Puan Farah Farhah (SaraKids). Thanks…. ūüôā

Mencairkan Perahan Susu Ibu yang disejukkan/dibekukan

Haba dan kepanasan melampau boleh memusnahkan enzim, antibodi dan komponen-komponen nutrien penting dalam susu ibu. Oleh itu perahan susu ibu yang disejukkan atau dibekukan perlu dicairkan dengan kaedah yang betul untuk mengurangkan kehilangan nutrien daripadanya.

thaw

Ikuti langkah-langkah berikut:

1. Untuk susu perahan yang disimpan di bahagian sejuk di dalam peti sejuk;

  • Lalukan bekas/botol susu di bawah aliran air pili untuk beberapa ketika.
  • Rendam botol di dalam bekas/mangkuk berisi air panas/air didih selama 5 minit. Jika air menjadi sejuk dan susu belum mencapai suhu yang diingini, tukarkan air rendaman dan rendam lagi untuk beberapa ketika.
  • Jika anda dapati susu di dalam botol¬†terpisah kepada 2 bahagian, goyangkan botol beberapa ketika untuk mencampurkan bahagian2 yang terpisah dan menyamaratakan suhunya.
  • Rasai suhunya sekali lagi sebelum menyusukan bayi anda

2. Untuk susu perahan yang disimpan di bahagian sejuk beku (freezer);

  • Turunkan beberapa botol (ikut keperluan) susu beku¬†daripada bahagian sejuk beku (freezer) ke rak atas bahagian sejuk di dalam peti sejuk anda pada sebelah malam supaya¬†pencairan boleh berlaku secara perlahan-lahan. Ini juga akan menjimatkan masa pencairan apabila hendak memberikan kepada bayi nanti.
  • Apabila bersedia untuk memberikannya kepada bayi, keluarkan 1 botol daripada peti sejuk dan cairkan¬†serta panaskan susu seperti langkah 1 di atas.

TIPS PENTING:

  1. Gunakan susu perahan yang paling lama disimpan (pastikan tarikh perahan susu dicatat pada botol/bekas sebelum menyimpan susu). Rujuk artikel Penyimpan Susu Ibu.
  2. Cairkan dan panaskan susu perahan hanya dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.
  3. Susu yang sudah dicairkan dan dipanaskan tidak boleh disimpan di dalam peti sejuk semula (walaupun tidak diminum oleh bayi). Susu ini perlu dihabiskan dalam masa 4-6 jam.
  4. Susu perahan yang tidak habis diminum oleh bayi boleh disimpan (dalam suhu bilik) untuk tempoh 2-3 jam dan beri kepada bayi pada penyusuan seterusnya.
  5. Susu beku yang telah diturunkan ke bahagian sejuk peti sejuk tidak boleh dibekukan semula. Susu ini perlu dihabiskan dalam tempoh 24 jam (dikira daripada masa menurunkannya daripada bahagian sejuk beku).
  6. Susu yang telah disimpan di dalam peti sejuk hanya bertahan selama 7 hari. Selepas 7 hari susu yang belum sempat digunakan boleh dinaikkan ke bahagian sejuk beku untuk memanjangkan tempoh penyimpanannya. Tetapi bau dan rasanya mungkin sedikit berubah kerana susu yang disimpan lama di dalam peti sejuk boleh menyerap bau daripada peti sejuk.

TIDAK BOLEH:

  • TIDAK BOLEH panaskan susu perahan terus di atas api dapur.
  • TIDAK BOLEH panaskan di dalam ketuhar gelombang mikro (microwave oven).
  • TIDAK BOLEH didihkan susu perahan.
  • Sebab & alasan: susu akan menjadi terlalu panas dan boleh mencederakan bayi, komposisi nutrien juga akan termusnah oleh kepanasan melampau.

Susu perahan juga boleh dipanaskan menggunakan pemanas (warmer):

autumnz home warmer

Sumber: askdrsears.com, babyfriendlyhalton.ca

Penyimpanan Susu Ibu

Susu ibu yang diperah boleh disimpan untuk diberikan pada bayi sepanjang ketiadaan ibu bersama bayi. Susu ibu mengandungi sel hidup, oleh itu susu ibu yang diperah perlu disimpan dengan kaedah yang betul untuk memastikan kandungan nutriennya terpelihara dan tidak musnah. Susu ibu sebenarnya mempunyai bahan anti-bakteria yang membolehkannya kekal segar dan tahan lama.

Bekas yang sesuai untuk menyimpan susu perahan:

  • bekas plastik atau botol susu bebas BPA (Bisphenol-A)
  • bekas kaca atau bekas plastik berbucu keras (seperti Tupperware)
  • breast milk storage liners yang memang dikhususkan untuk menyimpan perahan susu ibu

Susu ibu yang diperah boleh disimpan di dalam keadaan dan tempoh masa berikut:

  1. Di dalam suhu bilik (19 hingga 26 ¬įC), tahan sehingga 4 jam
  2. Di dalam bekas penyejuk (cooler bag/box) (kurang 4 ¬įC), tahan sehingga 12-24 jam
  3. Di dalam peti sejuk (kurang 4 ¬įC), tahan sehingga 7 hari
  4. Di dalam peti sejuk bahagian beku (-18 hingga -20 ¬įC), tahan antara 3 hingga 6 bulan
Expressed Breast Milk (EBM)

Expressed Breast Milk (EBM)

Panduan asas penyimpanan susu ibu:

  • bekas penyimpanan susu hendaklah dibasuh dengan bersih menggunakan sabun, dibilas dengan air didih dan dikeringkan dengan sempurna sebelum digunakan
  • catatkan tarikh perahan pada bekas susu sebelum menyimpannya
  • simpan susu dalam kuantiti mencukupi untuk 1 kali penyusuan untuk 1 bekas, contohnya 2 – 4 oz sahaja setiap bekas
  • jangan penuhkan bekas sehingga ke penutupnya, tinggalkan sedikit ruang untuk membolehkan pengembangan berlaku apabila susu dibekukan
  • susu yang hendak dibekukan sebaiknya hendaklah disimpan di bahagian sejuk terlebih dahulu sebelum dipindahkan ke bahagian beku peti sejuk
  • jangan simpan susu perahan di bahagian pintu peti sejuk kerana suhu di bahagian pintu tidak stabil (kerana kekerapan membuka dan menutup pintu peti sejuk)
  • sebaiknya simpan susu perahan di bahagian paling atas dan paling dalam kerana suhunya lebih stabil dan malar
  • jika menggunakan bekas penyejuk (cooler bag) pastikan ice pack yang digunakan mencukupi, ganti jika perlu dan kurangkan kekerapan membuka bekas penyejuk

Maklumat Tambahan

(berdasarkan soalan-soalan yang dikerap ditanya di dalam komen-komen di bawah)

1. Susu yang diperah di pejabat boleh disimpan di dalam peti sejuk di pejabat (jika ada) dan dibawa balik menggunakan cooler bag yang berisi ice pack yang mencukupi untuk perjalanan pulang ke rumah (walaupun perjalanan ke rumah hanya 10 minit, pastikan susu perahan kekal sejuk). Sampai di rumah, bolehlah pindahkan ke peti sejuk di rumah sama ada hendak letakkan di bahagian bawah (sejuk biasa) atau di bahagian atas (freezer). Tidak digalakkan membekukan susu semasa di pejabat kerana susu beku lebih sukar diuruskan (kerana kita perlu memastikan ia dibawa balik dalam keadaan beku dan tidak boleh mencair walaupun sedikit).

2. Jika susu beku sudah mencair (walaupun sedikit), susu tersebut tidak boleh lagi dibekukan semula. Ia perlu disimpan di bahagian bawah (bhg sejuk biasa) malah perlu dihabiskan (digunakan) dalam tempoh 24 jam dari masa ia mula mencair.

3. Susu perahan lebih baik disimpan di bahagian sejuk biasa berbanding bahagian beku (freezer) jika susu perahan itu adalah stok untuk beberapa hari. Sekiranya pada hari ke-5 susu perahan tersebut belum digunakan maka bolehlah naikkannya ke bahagian beku untuk memanjangan tempoh hayatnya.

4. Susu perahan yang dibekukan akan kehilangan beberapa nutrien dan antibodi akibat proses pembekuan namun komposisinya masih JAUH LEBIH BAIK berbanding susu formula. Oleh itu ibu perlu memberi susu  segar (secara direct feeding), susu perahan yang disejukkan dan susu perahan yang dibekukan untuk mengimbangi keperluan nutrien dan antibodi bayi.

5. Susu perahan yang telah dipanaskan, diberikan kepada bayi tetapi tidak habis diminum. Ibu-ibu masih boleh menyimpan susu tersebut ke dalam peti sejuk semula untuk penyusuan berikutnya (anggaran masa tidak lebih dari 2 jam). Jika pada penyusuan kedua tidak juga dihabiskan maka susu tersebut perlu dibuang.

Sumber: Le Leche League

Gambar ihsan Rizua (thanks ya! ūüôā )

Memerah Susu Ibu

Sebab-sebab perlu memerah susu ibu:

  1. untuk membekalkan susu ibu kepada bayi yang terpisah daripada ibu sama ada kerana bayi/ibu dimasukkan ke hospital, atau ibu bekerja dan meninggalkan bayi kepada pengasuh
  2. bayi tidak dapat melekap pada puting payudara ibu dengan berkesan disebabkan lahir pramasa atau masalah oral
  3. untuk melegakan bengkak payudara atau duktus tersumbat dan mengelakkan mastitis
  4. puting payudara yang luka/melecet
  5. meningkatkan dan mengekalkan penghasilan susu

Cara memerah susu:

hand-expressing1
  1. Memerah dengan tangan
    • memerah dengan tangan adalah¬†pilihan terbaik jika perlu memerah susu¬†pada hari-hari 1-3 selepas kelahiran
    • basuh tangan dengan bersih sebelum memerah
    • sediakan bekas yang bersih dan steril
    • lakukan pemerahan di tempat yang bersih, tenang dan selesa
    • boleh dilakukan dalam keadaan duduk atau berdiri dalam keadaan yang selesa
    • buat sedikit urutan pada payudara dan rangsang/gentel puting payudara untuk memberi rangsangan (refleks oksitosin atau let-down reflex)
    • melihat gambar bayi juga boleh membantu menghasilkan refleks
    • tuam panas payudara beberapa ketika juga boleh membantu menghasilkan refleks penghasilan susu
    • buat pegangan “C” pada payudara, letakkan ibu jari di sebelah atas payudara berdekatan areola¬†manakala jari telunjuk di bahagian bawah (utara dan selatan)
    • tekan payudara ke belakang ke arah dada
    • perah/picit dengan lembut menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, picit selama 2 saat dan lepaskan
    • teruskan memicit sehingga susu keluar
    • perah ke dalam bekas yang bersih dan steril
    • buat berulang kali sehingga tiada lagi susu keluar
    • tukar posisi jari ke bahagian lain mengikut pusingan semua bahagian payudara (timur-barat, tenggara-barat laut, barat daya-timur laut)
    • ulang proses memerah sehingga tiada lagi titisan susu
    • tukar ke payudara yang satu lagi
    • urut kedua-dua payudara dan mulakan sekali lagi¬†
    • perah setiap payudara 5-10 minit secara bergilir
    • setelah selesai memerah, sapukan beberapa titik susu ke atas puting dan keringkan puting payudara
  2. Memerah dengan pam payudara
    • baca panduan penggunaan pam dan panduan pembersihan peralatan mengepam sebelum menggunakannya
    • basuh dengan bersih dan sterilkan peralatan mengepam
    • basuh tangan dengan bersih
    • duduk atau berdiri dalam keadaan yang selesa
    • rangsang puting payudara untuk menghasilkan refleks oksitosin (let-down reflex)
    • posisikan¬†puting payudara ke dalam corong breast shield
    • mula mengepam pada kelajuan hisapan¬†paling rendah (jika menggunakan pam elektrik/bateri)
    • boleh laraskan kelajuan hisapan mengikut keselesaan
    • pam kedua-dua belah payudara secara bergilir-gilir
    • masa mengepam antara 10-20 minit (berbeza mengikut individu)

Expressing Breast Milk

Panduan umum:

  1. Memerah susu ibu perlu dilakukan dalam keadaan tenang, selesa dan tidak menyakitkan
  2. Urutan dan rangsangan pada puting payudara perlu untuk mencetuskan refleks oksitosin (let-down reflex)
  3. Memerah dengan kerap adalah lebih berkesan untuk meningkatkan penghasilan susu ibu berbanding memerah dalam tempoh masa yang lama dalam satu sesi pemerahan
  4. Pilih pam yang sesuai sama ada pam manual, atau pam elektrik, atau pam elektik yang boleh menggunakan bateri, single pump atau double pump
  5. Pam yang baik adalah pam yang mampu meniru gaya hisapan bayi (baby mimic suction)
  6. Patuhi rutin mengepam setiap hari (3-4 kali dalam tempoh bekerja 8 pg – 5 ptg)
  7. Memerah susu pada waktu malam juga dapat meningkatkan penghasilan susu ibu
  8. Ibu juga digalakkan memerah susu pada sebelah payudara sambil bayi menghisap payudara yang satu lagi

Sumber: thewomens.org.au, breastfeeding.com, breastfeeding.asn.au, my.inova.com

Penyusuan Susu Ibu yang Berkesan

Apabila ibu-ibu menyusukan bayi, perhatikan tanda-tanda penyusuan ibu yang berkesan seperti berikut:

  1. Tanda penghisapan yang berkesan
    1. hisapan perlahan dan dalam
    2. nada hisapan: hisap-telan-hisap-telan
    3. dengar bunyi bayi menelan
    4. hisapan cepat dan cetek
  2. Kekerapan penyusuan
    1. susukan bayi dengan kerap mengikut kemahuannya, “on-demand feeding
    2. sentiasa bersama bayi supaya boleh menyusukannya dengan kerap
    3. minggu pertama – susukan bayi lebih kerap
    4. bayi yang tidur lama (lebih daripada 2-3 jam) perlu digerakkan untuk disusukan
    5. menyusu kerap pada waktu malam
    6. purata penyusuan 8-12 kali dalam 24 jam
  3. Tanda bayi mendapat cukup susu
    1. bayi berhenti sendiri apabila kenyang
    2. penyusuan kerap 8-12 kali dalam 24 jam
    3. kencing lebih 6 kali dalam 24 jam
    4. kekerapan membuang air besar yang normal (4-8 kali dalam 24 jam)
    5. bayi kelihatan puas, ceria dan kulit bayi sihat
    6. payudara ibu penuh sebelum menyusu dan ‘ringan’ selepas menyusu
  4. Memberhentikan penyusuan
    1. biar bayi melepaskan puting payudara dengan spontan
    2. payudara kedua diberi selepas bayi selesai menghisap payudara pertama
    3. berikan kedua-dua payudara secara bergilir selagi bayi hendak terus menyusu
    4. jangan alihkan bayi dari payudara selagi dia sedang menyusu kecuali untuk membetulkan pelekapan
    5. untuk memberhentikan pelekapan bayi, masukkan jari kelingking ke tepi mulut bayi untuk mengeluarkan puting payudara dari mulutnya

Adaptasi daripada Booklet Penyusuan Susu Ibu, PPUM

Teknik Lekapan dan Penyusuan Susu Ibu

Cara Merangsang Bayi Memulakan Penyusuan:

  1. Dukung bayi dalam posisi yang selesa (rujuk posisi penyusuan ibu)
  2. Sentuh pipi bayi agar dia berpaling pada payudara ibu
  3. Sentuh bibir bayi dengan puting payudara agar dia mula membuka mulutnya dengan luas
  4. Gerakkan badan bayi ke arah payudara ibu
  5. Pastikan mulut bayi merangkum sebahagian besar kawasan areola payudara
  6. Pastikan bayi melekap dengan betul dan ampu sedikit bahagian bawah payudara ibu
Pegangan

Cara Mengampu Payudara:

  1. Ampu payudara dalam keadaan Pegangan "C" (C-hold
  2. Ibu jari berada di atas payudara manakala jari-jari lain mengampu bahagian bawah payudara
  3. Ampu dengan lembut, jangan memicit atau menekan payudara dengan kuat dalam keadaan ini
Lekapan Bayi

Teknik Lekapan Bayi:

  1. Mulut bayi terbuka luas
  2. Dagu bayi memcecah payudara
  3. Bibir atas dan bawah melengkup keluar
  4. Mulut bayi merangkum sebahagian besar kawasan areola
  5. Pipi bayi menggelembung
  6. Ada nada hisapan glup..glup..  hisap-telan-hisap-telan

Teknik lekapan dan penyusuan yang betul adalah penting kerana:

  1. untuk mengelak kesakitan, luka atau melecet pada puting payudara ibu
  2. memastikan bayi mendapat susu secukupnya dalam keadaan tenang
  3. mengelakkan bayi meragam, putus asa dan keletihan
  4. mengelakkan bengkak payudara ibu
Adaptasi daripada Booklet Penyusuan Susu Ibu, PPUM
Sumber gambar: Le Leche League International

Posisi Penyusuan Ibu

Ada beberapa posisi mendukung bayi ketika penyusuan ibu. Secara asasnya apa saja posisi yang dipilih, ibu dan anak haruslah dalam keadaan selesa, tenang dan tidak menyakitkan mana-mana bahagian badan.

feeding-position

1. Posisi Mendukung (Cradle Hold)

Ibu duduk dalam keadaan tegak dengan bahagian belakang disokong dengan bantal. Bayi diletakkan betul-betul di hadapan ibu dalam keadaan perut bayi bertemu perut ibu. Jika bayi menyusu pada payudara kiri ibu, maka kepala, belakang badan dan punggung bayi diampu oleh lengan kiri ibu.  Begitulah juga jika bertukar ke bahagian kanan. Badan bayi juga boleh disokong dengan bantal untuk meninggikannya. Ibu perlu duduk dalam keadaan tegak, jangan membongkok kerana ia akan menyebabkan ibu tidak selesa dan boleh mengakibatkan sakit belakang.

2. Posisi Mendukung Bersilang (Cross-Cradle Hold)

Posisi ini hampir sama seperti posisi mendukung (cradle hold) di atas. Cuma bezanya ialah dalam posisi ini bayi diampu oleh tangan yang satu lagi. Jika bayi menyusu pada payudara kiri ibu, bahagian badan, belakang dan kepala bayi diampu oleh lengan kanan ibu. Tapak tangan ibu mengampu kepala bayi. Badan bayi juga boleh disokong dengan bantal untuk meninggikannya. Ibu perlu duduk dalam keadaan tegak, jangan membongkok kerana ia akan menyebabkan ibu tidak selesa dan boleh mengakibatkan sakit belakang.

3. Posisi Mendakap (Football Hold)

Posisi ini sesuai untuk ibu-ibu yang bersalin secara pembedahan ceaserean kerana badan bayi tidak menekan abdomen ibu yang boleh menyebabkan kesakitan pada bahagian pembedahan. Dalam posisi ini bayi diletakkan di sisi (kiri atau kanan) ibu. Badan bayi disokong oleh bantal dan juga lengan ibu. Juga ibu perlu duduk dalam keadaan tegak, jangan membongkok kerana ia akan menyebabkan ibu tidak selesa dan boleh mengakibatkan sakit belakang.

4. Posisi Berbaring (Lying Down)

Posisi ini juga sesuai untuk ibu-ibu yang bersalin secara pembedahan ceaserean dan juga ibu-ibu yang bersalin normal yang tidak selesa untuk duduk tegak dan mungkin sakit di bahagian bawah.  Ibu-ibu perlu berbaring mengiring ke kiri atau ke kanan. Belakang badan ibu dan kepala disokong dengan bantal dalam keadaan selesa. Bayi juga diletakkan dalam keadaan mengiring menghadap ibu. Belakang bayi juga disokong dengan bantal.

Secara amnya:

  1. Kepala, tengkok dan badan bayi haruslah dalam keadaan selari
  2. Muka bayi menghadap payudara, hidung bayi bertentangan puting payudara ibu
  3. Bayi rapat dengan ibu, perut bertemu perut
  4. Kepala, bahu dan punggung bayi diampu
  5. Ibu dalam keadaan selesa dan tidak membongkok

 

Adaptasi daripada Booklet Penyusuan Susu Ibu, PPUM
Sumber gambar: med.umich.edu

Refleks Prolaktin dan Oksitosin

Prolaktin dan oksitosin adalah hormon-hormon yang berperanan penting dalam penyusuan ibu di samping hormon-hormon utama wanita iaitu estrogen dan progesteron.

Semasa kehamilan, aras estrogen yang tinggi meningkatkan penghasilan prolaktin. Pada ketika ini prolaktin berperanan untuk kematangan kelenjar mamari (mamogenesis) bagi menyediakannya kepada penyusuan ibu apabila bayi lahir kelak. Namun begitu aras progesteron yang tinggi ketika itu merencat peranan prolaktin untuk merembeskan susu dalam waktu kehamilan ini.

Sebaik sahaja kelahiran berlaku, aras prolaktin akan berkurangan kerana pencetus dalamannya (iaitu plasenta) telah tiada. Oleh itu hisapan bayi akan memainkan peranan penting untuk merangsang penghasilan prolaktin selepas kelahiran ini.

Hisapan bayi akan merangsang reseptor pada puting dan areola ibu untuk mencetuskan impuls yang akan dibawa oleh sistem saraf ke otak (hipotalamus).  Ini seterusnya merangsang kelenjar pituitari (anterior) merembeskan hormon prolaktin. Hormon prolaktin seterusnya dibawa oleh aliran darah ke payudara. Di payudara, reseptor yang terdapat di sekeliling alveolus akan mengesan kehadiran prolaktin dan seterusnya merangsang kelenjar mamari menghasilkan susu ibu untuk persediaan penyusuan seterusnya.

milk-ejectionApabila alveolus penuh terisi dengan susu ibu, dinding sel mioepitelia akan mengembang dan menghalang prolaktin sampai ke reseptor di alveolus. Oleh itu apabila reseptor pada dinding alveolus mengesan kekurangan prolaktin, penghasilan susu oleh kelenjar mamari juga akan berkurangan. Sebaliknya apabila alveolus telah dikosongkan (susu telah dikeluarkan/dihisap oleh bayi), sel mioepitelia akan kembali ke bentuk asal dan seterusnya membenarkan prolaktin melaluinya untuk merangsang kelenjar mamari menghasilkan susu semula. Perembesan prolaktin ini dikenali sebagai refleks prolaktin.

Untuk memahami refleks ini dengan mudah, saya ringkaskan begini:

  • Bayi menghisap puting payudara dan mengosongkan stok susu dalam payudara
  • Prolaktin dirembes oleh kelenjar pituitari
  • Prolaktin merangsang kelenjar mamari menghasilkan susu
  • Payudara diisi dengan susu semula
  • Kehadiran susu dalam payudara merencat tindakan prolaktin
  • Jika susu di dalam payudara tidak dikeluarkan, aras prolaktin kekal rendah, maka susu baru¬†tidak dihasilkan
  • Jika susu di dalam payudara dikeluarkan, proses penghasilan susu akan berlaku semula

Kesimpulannya: lebih kerap payudara dikosongkan lebih banyak prolaktin akan berjaya merangsang kelenjar mamari menghasilkan susu.

Namun begitu prolaktin hanya berperanan dalam penghasilan susu (laktogenesis) tetapi pancutan susu dikawal oleh hormon oksitosin yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari (posterior).

milk-secretion&milk-ejection

Hisapan bayi pada puting payudara ibu mencetuskan impuls yang dibawa oleh neuron ke otak untuk merangsang kelenjar pituitari (posterior) merembeskan oksitosin. Oksitosin seterusnya dibawa oleh aliran darah ke payudara ibu. Kehadiran oksitosin merangsang sel mioepitelia mengecut dan seterusnya merangsang pancutan susu melalui duktus laktiferus ke arah areola dan puting payudara. Tindakan ini dinamakan refleks oksitosin atau lebih dikenali sebagai let-down reflex.

Sumber: wikipedia.org, kellymom.com, colorado.edu
Selamat Datang
Selamat Datang ke laman blog Mom's Choice. Semoga bakal ibu (dan bapa) mendapat manfaat daripada pengkongsian ilmu berkaitan Penyusuan Ibu dalam laman ini.
Takwim
May 2017
M T W T F S S
« Jun    
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
293031  
Tags