Archive for the ‘Relaktasi’ Category

Milk Booster : Galacta Capsule

Galacta Capsule (60 capsules) – offer price RM60.00 (normal price RM75.00)

Kegunaan:

  • meningkatkan penghasilan susu ibu
  • menguatkan badan selepas melahirkan anak

Note peribadi: antara produk penambah susu ibu paling berkesan (untuk saya :))

REFER: www.momschoice.com.my

Induce Lactation (Mencetuskan Penyusuan Ibu)

Artikel ini ditujukan khusus kepada ibu-ibu yang mengambil anak angkat dan berusaha untuk menjadi ibu susuan kepada anak angkat.

Mencetuskan penyusuan ibu atau induce lactation bagi ibu angkat yang hendak menyusukan anak angkat bukanlah perkara mudah kerana biasanya ibu-ibu ini tidak pernah hamil atau tidak pernah melahirkan anak sebelum itu. Jadi proses pembentukan dan kematangan kelenjar mamari seperti yang dialami semasa proses kehamilan tidak pernah berlaku kepada ibu-ibu ini. Namun begitu ini tidak boleh menjadi penghalang untuk ibu-ibu angkat berusaha untuk menghasilkan susu ibu untuk diberikan kepada anak angkat mereka.

Memberikan susu ibu kepada anak angkat bukanlah semata-mata untuk tujuan menjadikan anak itu muhrim kepada ibu bapa angkat tetapi lebih kepada memberikan makanan terbaik untuk bayi. Susu ibu tetap yang terbaik berbanding susu formula. Seperti yang dinyatakan oleh Dr Jack Newman di dalam bukunya, “The Ultimate Breastfeeding Book of Answers”, susu formula bukanlah pilihan kedua terbaik selepas susu ibu. Susu formula adalah pilihan keempat selepas susu perahan ibu dan susu ibu dari ibu susuan.

Semasa kehamilan badan wanita akan meningkatkan penghasilan hormon progesteron dan estrogen (dirembeskan oleh ovari) dan hormon prolaktin (dirembeskan oleh kelenjar pituitari) untuk menyediakan payudara untuk penyusuan ibu. Di akhir kehamilan, aras progesteron dan estrogen akan menurun manakala aras prolaktin akan bertambah untuk memulakan penghasilan dan pengeluaran susu ibu di payudara. Prosedur inilah yang cuba ditiru untuk membolehkan ibu-ibu yang tidak pernah hamil mengalami proses mencetuskan susu ibu di payudara mereka. Apabila susu ibu sudah berjaya dihasilkan maka langkah seterusnya menjadi lebih mudah iaitu meningkatkan dan mengekalkan penghasilan susu ibu.

Bilakah induce lactation harus bermula?

Sebaik-baiknya lebih awal bermula lebih baik hasil yang akan diperoleh dalam usaha untuk mencetuskan susu ibu. Sebagai contoh, ibu boleh bermula 6 bulan atau lebih awal sebaik sahaja mengambil keputusan menerima bayi angkat untuk menyediakan susu ibu kepada bakal bayinya.

Persediaan bagi ibu yang mempunyai masa 6 bulan:

  1. 6 bulan sebelum jangkaan bayi lahir; makan pil perancang (Yasmin atau Microgestin) setiap hari bersama 10 mg Domperidone 4 kali sehari selama 1 minggu. Penggunaan pil perancang pada peringkat awal ini adalah bertujuan merencat penghasilan susu ibu sebagaimana proses yang berlaku di awal kehamilan.
  2. Selepas seminggu, tingkatkan dos Domperidone kepada 20 mg 4 kali sehari. Payudara akan mengalami sedikit perubahan saiz dan ini adalah normal.
  3. Teruskan kekalkan dos yang sama sehingga 6 minggu sebelum tarikh jangkaan bayi lahir.
  4. 6 minggu sebelum bayi lahir; hentikan pengambilan pil perancang tetapi teruskan dos 20 mg Domperidone 4 kali sehari. Menghentikan pil perancang pada peringkat ini akan mengurangkan aras progesteron dan meningkatkan penghasilan prolaktin pula untuk persediaan mencetuskan susu ibu.
  5. 2 minggu kemudian, ibu boleh mula mengepam setiap 3 jam. Sebaiknya gunakan pam elektrik (double pumping hospital grade brastpump )untuk mendapatkan hasil yang baik. Apabila ibu mula mengepam ibu-ibu boleh menambah makanan penggalak susu ibu dalam nutrisi mereka seperti Fenugreek (halba) dan oat. Ibu juga harus minum banyak air tetapi kurangkan pengambilan kopi (minuman berkafein) kerana kafein boleh mengurangkan kandungan air dalam badan.
  6. Pada peringkat ini susu ibu sepatutnya sudah hadir tetapi dalam kuantiti yang sedikit dan warna putih yang jernih sebelum mendapat susu sebenar selepas beberapa hari/minggu.
  7. Sebaik bayi lahir (jika boleh) ibu boleh terus cuba menyusukan bayi pada payudara ibu. Alternatif lain yang lebih baik, ibu sebenar boleh menyusukan bayinya kerana kolostrum daripada ibu adalah makanan paling baik untuk bayi baru lahir.

Persediaan bagi ibu yang mempunyai masa kurang daripada 6 bulan:

  1. Makan pil perancang (Yasmin atau Microgestin) setiap hari selama 30-60 hari bersama 20 mg Domperidone 4 kali sehari. Penggunaan pil perancang pada peringkat awal ini adalah bertujuan merencat penghasilan susu ibu sebagaimana proses yang berlaku di awal kehamilan.
  2. Selepas 30 hari, jika berlaku perubahan pada payudara (saiz bertambah, rasa tegang dan penuh) hentikan pengambilan pil perancang tetapi kekalkan dos Domperidone 20 mg 4 kali sehari. 
  3. Ibu juga boleh mula mengepam. Sebaiknya gunakan pam elektrik (double pumping hospital grade brastpump )untuk mendapatkan hasil yang baik. Makan makanan penggalak susu ibu seperti Fenugreek (halba) dan oat,  minum banyak air.
  4. Sama seperti saranan di atas, ibu angkat boleh terus cuba menyusukan bayi sebaik bayi lahir.

Kes yang pernah terjadi kepada rakan saya yang mengambil anak angkat dan melakukan proses induce lactation sebulan sebelum kelahiran bayi angkatnya. Pada hari bayi dilahirkan ibu sebenar tidak mahu menyusukan bayinya (sedih sekali!) dan terus menyerahkan bayi kepada ibu angkat pada hari kedua bayi lahir…  Ibu angkat berusaha menyusukan anak angkatnya walaupun kuantiti susu masih belum mencukupi! Namun beliau berjaya mencetuskan susu ibu untuk diberikan kepada bayi angkatnya.

Ringkasnya, mencetuskan susu ibu ada 4 fasa:

Fasa 1: makan pil perancang dan Domperidone untuk membolehkan badan “meniru” proses pembentukan kelenjar mamari sebagaimana yang berlaku semasa proses kehamilan.

Fasa 2: hentikan pil perancang tetapi teruskan Domperidone untuk mencetuskan penghasilan susu ibu.

Fasa 3: memerah susu untuk menggalakkan penghasilan dan pengeluaran susu ibu.

Fasa 4: beri bayi menyusu terus daripada payudara ibu untuk meningkatkan rangsangan ke atas payudara untuk menggalakkan penghasilan lebih banyak susu.

Nasihat saya kepada ibu (ibu angkat):

  1. Susu ibu tetap makanan terbaik bagi bayi baru lahir. Sebaiknya susukannya sekurang-kurang selama 6 bulan pertama hayatnya.
  2. Ibu harus berfikiran positif, cekal, sabar dan mempunyai keyakinan yang tinggi untuk berjaya mencetuskan susu ibu. Penghasilan susu ibu bergantung kepada tindak balas hormon dan rembesan hormon bergantung kepada “arahan” daripada otak. Jadi “didik”lah otak supaya ia mahu bekerjasama dengan kita utk menghasilkan susu ibu yang mencukupi untuk bayi kita.
  3. Latih bayi menyusu terus dari payudara ibu untuk meningkatkan rangsang ke atas payudara untuk menghasilkan lebih banyak susu. Jika perlu alat SNS (rujuk rajah di bawah) boleh digunakan.
  4. Jangan perkenalkan puting tiruan kepada bayi. Walaupun ketika susu ibu masih belum mencukupi dan ibu terpaksa memberi susu formula kepada bayi, sebaiknya beri menggunakan sudu atau cawan kecil bagi mengelak bayi keliru puting.
  5. Jika masalah keliru puting berlaku lebih sukar memujuk bayi menyusu daripada payudara ibu. Kesannya payudara kurang dirangsang maka penghasilan susu akan berkurangan.
  6. Dapatkan nasihat doktor dan pakar laktasi untuk membincangkan penggunaan pil dan ubat-ubatan di atas. Kenalpasti juga kesan sampingan yang mungkin berlaku dengan penggunaan ubat-ubatan tersebut. Namun begitu ibu harus kuat, tabah dan yakin bahawa “susu ibu makanan terbaik bagi bayi”.
MEDELA Supplemental Nursing System (SNS)

MEDELA Supplemental Nursing System (SNS)

 

cup feeding

Teknik "Cup Feeding": Bayi menghirup susu daripada cawan kecil (bukannya menuang susu ke mulut bayi)

Sumber: www.asklenore.info

Relaktasi

Definisi relaktasi (relactation) menurut Dr. Jack Newman,

Relactation refers to restarting breastfeeding with the same baby after it has been stopped for some reason.

Sebab-sebab sesetengah ibu berusaha untuk relaktasi adalah kerana bayi tidak sesuai dengan susu formula, masalah kesihatan bayi, kekesalan kerana berhenti menyusukan bayi terlalu awal atau mungkin kerana perubahan tugas sepeti berhenti kerja dan menjaga bayi sepenuh masa.

Usia 6 bulan ke bawah adalah usia yang realistik untuk kejayaan relaktasi namun ibu-ibu masih boleh berusaha untuk relaktasi jika usia bayi lebih daripada 6 bulan.

Dalam usaha untuk menjayakan relaktasi, ada 2 perkara yang perlu diambil perhatian:

  1. memujuk bayi untuk kembali menyusu daripada payudara ibu;
  2. mencetuskan penghasilan susu (jika susu sudah “tiada”) atau meningkatkan penghasilan susu (jika susu ibu kurang).

Kebarangkalian untuk kejayaan relaktasi bergantung kepada beberapa faktor:

Faktor #1 – Pengeluaran susu sebelum berhenti

  • Jika ibu pernah menghasilkan susu yang banyak sebelum berhenti menyusu dahulu, kemungkinan untuk menghasilkan susu semula adalah lebih tinggi.
  • Namun begitu jika bayi berhenti menyusu dahulu kerana ibu “kurang susu”, ibu masih boleh mencetuskan susu semula kerana kemungkinan “kurang susu” berlaku kerana kesilapan teknikal.

Faktor #2 – Berapa lamakah bayi sudah berhenti menyusu daripada ibu?

  • Semakin lama bayi sudah berhenti menyusu, semakin sukar untuk memujuknya kembali menyusu daripada ibu.
  • Memang lebih sukar untuk memujuk bayi yang lebih besar untuk kembali menyusu daripada ibu kerana kebiasaan yang “selesa” dengan penyusuan botol dan susu formula.
  • Namun begitu ibu-ibu masih boleh berusaha untuk relaktasi, walaupun tidak berjaya untuk menyusu secara eksklusif tetapi sekurang-kurangnya sedikit itu lebih baik daripada tiada.

Faktor 3# – Berapa lamakah tempoh bayi pernah menyusu daripada payudara ibu?

  • Semakin lama tempoh bayi pernah menyusu daripada ibunya semakin mudah untuk memujuknya menerima susu ibu semula.
  • Jika bayi pernah menyusu secara eksklusif  selama 16 minggu (4 bulan), lebih mudah untuknya kembali menyusu daripada ibu berbanding bayi yang hanya menyusu 2 bulan sahaja.
  • Namun sekali lagi ditegaskan, ibu-ibu masih boleh berusaha untuk relaktasi.

Faktor #4 – Kesediaan ibu.

  • Relaktasi memerlukan kesediaan yang bersungguh-sungguh daripada ibu.
  • Ibu yang tidak bekerja memang lebih mudah untuk relaktasi kerana relaktasi memerlukan usaha dan kesabaran yang tinggi.
  • Sesetengah ibu yang bekerja mengambil cuti panjang untuk menjayakan relaktasi.

Bagaimana caranya?

1. Relaktasi apabila bayi bersedia menyusu daripada payudara ibu.

  • Jika bayi dapat menerima puting payudara ibu maka usaha relaktasi menjadi lebih mudah.
  • Bagaimana melatih bayi menerima payudara ibu semula?
  1. Kebiasannya ibu-ibu mula melatih bayi menerima payudara ibu pada waktu malam sebelum tidur;
  2. Tawarkan puting payudara ibu pada ketika bayi dalam keadaan relaks, tidak terlalu lapar, tidak terlalu mengantuk, dalam bilik yang agak gelap, dan tiada gangguan bunyi bising;
  3. Ambil masa untuk mendakap, membelai dan mengusap bayi dengan lembut dan mesra;
  4. Jadikan sesi penyusuan sebagai sesi yang membahagiakan;
  5. Jika bayi menolak payudara ibu, jangan berputus asa, bersabar dan cuba lagi.
  6. Jangan memaksa bayi menerima payudara kerana ini menyebabkan bayi stress.
  • Ada 2 paten penerimaan bayi terhadap payudara ibu;
  1. bayi menghisap puting payudara ibu untuk ketenangan seolah-olah seperti menghisap pacifier (puting kosong) dan bayi tidak kisah dengan pengeluaran susu ibu yang sedikit.
  2. bayi menerima payudara ibu kerana merasa ada susu dihasilkan tetapi berhenti sebaik penghasilan susu berkurang.
  • Paten 1. Jika bayi hanya menghisap payudara untuk menenangkannya, ibu-ibu wajar memberhentikan pemberian puting kosong secara perlahan-lahan.  Gantikan dengan penyusuan daripada payudara ibu.
  • Namun begitu ibu masih perlu menggunakan lactation aid (sejenis peralatan khusus) yang diisi dengan susu formula.
  • Biarkan bayi menghisap payudara ibu untuk merangsang pernghasilan susu ibu.
  • Jika susu ibu dihasilkan dengan baik, kurangkan pengaliran susu melalui lactation aid.
  • Paten 2. Sebaliknya jika bayi menghisap payudara ibu kerana mahukan susu ibu, lactation aid yang diisikan susu formula boleh digunakan.
  • Susu formula di dalam lactation aid perlu diberikan supaya bayi tidak mengamuk kerana kekurangan susu.
  • Rasionalnya ialah jika bayi mengamuk dia mungkin menolak terus payudara ibu maka rangsangan terhadap payudara ibu tidak dapat dilakukan.
  • Jika bayi terus mengamuk dan tidak mahu menyusu lagi daripada payudara ibu,  jangan putus asa… tawarkan susu formula kepada bayi tetapi beri bayi minum menggunakan sudu/cawan dan bukannya botol dan puting tiruan kerana bayi akan keliru puting dan usaha menggembalikan bayi kepada payudara ibu akan terganggu.
medela sns

MEDELA Supplemental Nursing System (SNS)

2. Relaktasi apabila bayi tidak mahu menyusu daripada payudara ibu.

  • Jika bayi tidak mahu menyusu daripada puting payudara ibu, harapan ibu adalah kepada usaha peningkatan penghasilan susu ibu.
  • Jika susu ibu bertambah kemungkinan untuk bayi kembali menyusu daripada ibu adalah lebih cerah.
  • Atau sekurang-kurangnya ibu boleh memerah susu dan memberikannya kepada bayi.
  • Dalam pada itu ibu boleh melatih bayi secara perlahan-lahan untuk kembali menyusu terus daripada ibu.
  • Bagaimana meningkatkan penghasilan susu?
  1. perah/pam dengan kerap
  2. makan makanan berkhasiat dan seimbang
  3. makan makanan penambah susu seperti Fenugreek
  4. menggunakan ubat-ubatan (minta nasihat doktor) seperti Domperidone (motilium)
  5. kurangkan stress
  6. berfikiran positif

Kesimpulan: Relaktasi bukanlah usaha yang mudah. Ia boleh mengambil masa secepat 2 minggu atau selewat-lewatnya sebulan untuk berjaya atau langsung gagal. Namun ibu-ibu wajar berusaha dengan yakin dan bersungguh-sungguh jika benar-benar mahu menjayakan penyusuan semula kepada bayi. Minta nasihat doktor atau pakar laktasi untuk bimbingan yang lebih sempurna.

Sumber: The Ultimate Breastfeeding Book of Answers by Jack Newman, M.D., and Teresa Pitman; kellymom.com, naturalchildbirth.org, idahopublichealth.com

Selamat Datang
Selamat Datang ke laman blog Mom's Choice. Semoga bakal ibu (dan bapa) mendapat manfaat daripada pengkongsian ilmu berkaitan Penyusuan Ibu dalam laman ini.
Takwim
July 2014
M T W T F S S
« Apr    
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  
Tags
Copy Protected by Chetans WP-Copyprotect.