Archive for April, 2009

Puting Leper (Flat Nipples) dan Puting Tenggelam (Inverted Nipples)

Semua ibu dilahirkan dengan keunikan yang tersendiri. Namun fungsi payudara tetap telah ditentukan untuk penyusuan susu ibu kepada bayi. (Kerana dari situlah kita dikategorikan sebagai mamalia).

Keadaan puting leper (flat nipples) dan puting tenggelam (inverted nipples) boleh terjadi di kalangan 3-10% daripada populasi. Namun begitu keunikan yang tersendiri ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang ibu-ibu terus berusaha untuk menyusukan bayi dengan susu ibu.

Bagaimana menentukan keadaan puting adalah normal, leper atau tenggelam?

Caranya: Dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, picit dengan lembut kawasan areola pada jarak diameter 1 inci daripada puting. 

Puting yang normal akan tertonjol apabila dikenakan tekanan pada areola. Tetapi puting leper tidak tertonjol keluar manakala puting tenggelam akan tertarik ke dalam. Lihat Rajah di bawah:

"Pinch Test" Untuk Menentukan Puting Normal, Leper atau Tenggelam

"Pinch Test" Untuk Menentukan Puting Normal, Leper atau Tenggelam

Bolehkah menyusukan bayi jika puting leper atau tenggelam?

Ibu-ibu perlu yakin bahawa walau bagaimanapun bentuk dan keadaan puting (sama ada leper atau tenggelam) bayi masih boleh menyusu dengan efektif. Ibu-ibu perlu:

  1. Tetapkan keyakinan bahawa ibu boleh menyusukan bayi dengan efektif.
  2. Fahami bahawa semasa penyusuan, mulut bayi perlu merangkum areola bukannya menghisap puting semata-mata.
  3. Latih bayi melekap dengan betul seawal kali pertama bayi mula menyusu daripada ibu (1 jam pertama selepas kelahiran). Rujuk Teknik Lekapan.
  4. Berlatih dengan kerap sepanjang masa rooming-in (ibu bersama bayi di hospital) dan sepanjang masa tanpa jemu dan putus asa.
  5. Letakkan bayi pada posisi yang betul semasa penyusuan. Rujuk Posisi Penyusuan Ibu.
  6. Pelekapan yang baik boleh membantu menonjolkan puting yang leper.
  7. Menyusu bayi sebelum payudara menjadi bengkak. Pembengkakan payudara akan merumitkan keadaan kerana puting akan menjadi lebih leper/tenggelam. (Puting normal pun sukar menyusukan bayi apabila payudara bengkak).
  8. Ibu boleh juga mengepam sebelum menyusu bayi untuk menonjolkan sedikit puting supaya mudah bayi melekap dengan berkesan.

Kesimpulannya walau bagaimanapun keadaan puting sama ada normal, leper atau tenggelam, anak-anak masih berhak mendapat susu ibu daripada ibunya. Ingat! Susu ibu adalah makanan terbaik bagi bayi.

Sumber: askdrsears.com, breastfeedingbasic.com, breastfeeding.hypermart.net, babycenter.com

Melatih bayi yang “keliru puting”

Soalan daripada Hayati;

salam kak nieza….sy dah melahirkan baby 1bln yg lebih. bayi saya tlh keliru puting akibat kesilapan sy sendiri. adakah pengeluaran susu akan bertambah jika hanya dgn mengepam tanpa bayi menyusu direct?sekarang susu sy hampir kering dan ini myebabkan bayi sy menolak utk menyusu badan .sy juga rasa putus asa utk terus mengepam susu…sy betul2 rasa tertekan, bantulah saya….

salam hayati,

ada 2 persoalan besar di sini:

  1. bayi telah keliru puting
  2. adakah susu akan bertambah dengan mengepam sahaja tanpa direct feeding

Umur bayi Hayati baru 1 bln bermakna masih dalam pantang lagi. Masih belum terlambat utk melatih bayi latch on dengan betul dan kembali kepada direct feeding dan juga fully breastfeeding (saya rasa bayi telah diperkenalkan dengan susu formula). Kalau bayi sudah biasa minum susu formula harus hentikan pemberian susu formula dan fokuskan kepada direct feeding sahaja. Pastikan bayi menyusu setiap 1-2 jam sehingga bayi mahir untuk latch on dengan baik. Bayi dilahirkan dengan naluri hisapan yang kuat tetapi pengenalan terlalu awal kepada puting tiruan akan menyebabkan dia lebih selesa menyusu melalui botol kerana lebih senang untuk mendapatkan susu tanpa perlu menggunakan otot mulut dengan kuat.

Untuk melatih bayi kembali kepada direct feeding perlukan usaha kuat dan kesabaran yang tinggi. Pujuk bayi dengan bercakap-cakap dengannya memintanya menyusu pada payudara ibu. Beri dia menyusu ketika dia belum terlalu lapar sehingga mengamuk. Menyusulah dalam posisi yang selesa bagi ibu dan bayi sama ada dalam keadaan duduk atau berbaring. Bayi mungkin akan menguji kesabaran kita dengan cara “mengamuk” dan menolak payudara ibu. Ibu jangan putus asa sehingga mengalah dan akhirnya memberi susu formula di dalam botol kerana kasihan bayi lapar, menangis dan takut perut masuk angin. Inilah rasionalnya proses ini dilakukan ketika bayi belum terlalu lapar. Jika bayi masih menolak dan ibu gagal pada percubaan pertama, beri bayi minum susu ibu yang diperah dengan menggunakan sudu (jangan guna botol dan puting tiruan kerana ia akan memberi signal kepada bayi bahawa adanya alternatif menyusu yang lebih senang dan bayi akan mengulangi taktik yang sama iaitu menangis dan mengamuk). Selepas beberapa ketika cuba ajar lagi bayi menyusu dari payudara ibu. Jangan putus asa kerana Hayati masih dalam pantang dan masih bersama bayi sepanjang masa. Keadaan akan lebih mencabar jika ditangguhkan apatah lagi jika telah kembali bekerja.

Kekurangan susu mungkin satu faktor menyebabkan bayi tidak mahu menyusu terus daripada payudara ibu. Penghasilan dan pengeluaran susu memang akan bertambah dengan kerapnya mengepam. Tetapi rangsangan paling berkesan adalah  hisapan bayi. Jadi ajarlah bayi menyusu terus daripada ibu di samping tingkatkan kekerapan mengepam. Bayi baru lahir biasanya menyusu 10-12 kali dalam tempoh 24 jam (bermakna setiap 2 jam sekali). Jika bayi tidak direct feeding, gantikan dengan mengepam dalam kekerapan yang sama. Teruskan mengepam walaupun hasilnya hanya 0.5 atau 1 oz sahaja. Kekerapan mengepam akan memberi signal kepada otak bahawa permintaan terhadap susu adalah tinggi dan ini akan merangsang lebih hormon prolaktin dirembeskan untuk merangsang penghasilan susu. Tetapi hal ini bukanlah boleh berlaku dalam sehari dua tetapi memerlukan masa untuk berjaya.

Faktor jenis pam juga memainkan peranan.  Pam yang tidak selesa dan menyakitkan mungkin akan membantutkan usaha menambah pengeluaran susu kerana ibu menjadi stress apabila dalam kesakitan apatah lagi apabila melihat hasil yang kurang memberangsangkan. Lebih memburukkan keadaan apabila puting ibu melecet akibat menggunakan pam yang menyakitkan. Pilih pam yang baik dan mengikut ritma hisapan bayi. Atau pun ibu boleh memerah dengan tangan, kurang menyakitkan tetapi perlukan teknik yang betul.

Di samping itu, ibu harus menjaga permakanan. Makan makanan yang seimbang dan awasi kalau-kalau ibu makan makanan atau ubat-ubatan (termasuk pil perancang) yang mengganggu penghasilan susu ibu. Jaga emosi, jangan stress dan tanamkan keazaman yang tinggi untuk memberi yang terbaik untuk anak kita.

Semoga berjaya Hayati.

p/s Artikel ini juga untuk Liza (Ipoh) yang telefon saya pagi tadi mengenai masalah yang sama. Semoga berjaya Liza.

Selamat Datang
Selamat Datang ke laman blog Mom's Choice. Semoga bakal ibu (dan bapa) mendapat manfaat daripada pengkongsian ilmu berkaitan Penyusuan Ibu dalam laman ini.
Takwim
April 2009
M T W T F S S
« Mar   May »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  
Tags