Masalah penyusuan – inverted nipple (puting tenggelam)

Masalah penyusuan – inverted nipple (puting tenggelam)

Bismillahirrahmanirrahim…

Saya menerima persoalan yang diajukan oleh seorang ibu berkaitan inverted nipple, saya cuba menjawab sebaik mungkin… soalannya;

salam, sy nk tnye..
sy bakal melahirkan anak kedua insyaAllah bulan 6 nie, sy ada mslh inverted nipple. sy rse kecewa sb anak ptama dlu sy xsempat nk bg direct bf, sb sy dah cuba untuk bg anak direct bf tp susu xdapat then die mengamuk, alternatif lain, sy bg jugak fm walaupon sy da plan nk full bf, so kali nie sy nekad nk bg anak sy no 2 nie direct bf, cuma sy nk tau camna nk atasi problem nie, skang sy byk google nk dptkan info psl nie..walaupon sy dah urut kawasan puting/ aerola time mandi.tlong…

Jawapan dan penjelasan saya;

as salam. ada 2 perkara yg boleh saya cadangkan…

Pertama, latih bayi menyusu terus dari payudara seawal 1 jam pertama dilahirkan. Biarkan bayi menghisap walaupun tiada susu atau cecair keluar dari payudara. Bagi bayi baru lahir, tiada had masa, tempoh atau kekerapan penyusuan pada hari-hari pertama. Biarkan dia menyusu seberapa kerap dan seberapa lama yg dia mahu (anak kedua saya “bergayut” selama sejam pada hari pertama dilahirkan, dia tidak mahu melepaskan puting walaupun tiada susu dikeluarkan…) Puan kena sabar dan berdoa semoga susu akan banyak dihasilkan. Bayi baru lahir tidak memerlukan susu yang banyak kerana saiz perutnya yang sangat kecil. Tetapi perlunya menyusukannya pada 1 jam pertama hadirnya ke dunia adalah kerana tindakannya menghisap payudara akan merangsang penghasilan susu ibu untuk persediaan hari-hari selanjutnya. Penyusuan awal juga penting untuk “memperkenalkan” bayi dengan puting payudara ibunya. Dalam kes puan, penyusuan awal sangat penting untuk membiasakan bayi dengan puting yang inverted. Naluri menghisap bayi baru lahir sangat kuat, sebab itu biasanya bayi memang tak perlu “diajar” utk menyusu daripada payudara ibunya. Penting untuk tidak memberikan puting tiruan, botol susu apatah lagi susu formula atau air masak. Penggunaan puting tiruan akan merencatkan usaha memperkenalkan puting payudara semula jadi ibu kepada bayi. Pastikan teknik menyusu yang betul iaitu bayi memasukkan puting dan sebahagian areola ke dalam mulutnya… lihat di sini teknik lekapan  Apabila bayi sudah terbiasa dgn keadaan semula jadi puting ibunya, insya Allah dia boleh menyusu dgn jayanya.. Kadang kala ibu (dan orang sekeliling juga) tersalah anggap apabila bayi mengamuk tidak mahu menyusu daripada payudara ibu (walau bagaimana keadaannya) kononnya kerana tiada susu, atau bayi sangat lapar, atau susu ibu tidak mencukupi.. lantas terus memberi susu formula sebagai penyelesaiannya… Kadang kala bayi mengamuk kerana dia perlukan belaian dan perhatian ibu seorang, dia rimas suasana panas, bising, orang ramai, cerah dan sebagainya. Penting ibu dan bayi dibiarkan bersendirian dan menikmati penyusuan hari-hari pertama tanpa terlalu banyak gangguan.

Kedua, dalam kes bayi masih menolak juga puting payudara ibu setelah ibu berusaha bersungguh-sungguh, ibu harus berusaha pula untuk memerah susu dan memberi susu ibu kepada bayi. Kerana memerah susu boleh menjadi ganti rangsangan hisapan bayi untuk memastikan susu ibu tetap akan dihasilkan. Memerah susu ibu juga akan memastikan bekalan susu ibu mencukupi untuk diberikan kepada bayi. Pendek kata yang paling penting bayi diberi susu ibu walau bagaimana pun caranya. Namun begitu penggunaan puting tiruan dan botol susu masih tidak digalakkan. Sebaiknya gunakan sudu kecil dan biarkan bayi menghirup susu (bukan menuang ke dalam mulutnya). Dalam pada itu usaha menyusukan bayi secara terus dari payudara ibu masih boleh dilakukan. Harapnya dengan memerah susu secara kerap akan meningkatkan penghasilan susu, dan apabila susu banyak maka bayi lebih mudah tertarik untuk menyusu terus daripada payudara ibu. Ramai juga para ibu yang berjaya memberikan susu ibu kepada bayinya sehingga 2 tahun penuh dengan memberi susu perahan tanpa bayi menghisap payudara. Tetapi usaha ini bukanlah mudah tetapi tidak juga sukar sehingga mustahil untuk dilakukan. Apa yang penting, konsisten memerah pada selang masa 2-3 jam sekali sama seperti kekerapan bayi menyusu daripada ibu. Tidak perlu menunggu payudara penuh baru hendak memerah susu.

Saya harap penjelasan ini sedikit sebanyak dapat membantu puan menjayakan penyusuan ibu untuk bayi puan nanti. Berdoalah semoga usaha puan berjaya. Semoga Allah mempermudahkan usaha puan. insya Allah.