Menyusu Bayi Kembar

Salam Ramadhan,
Menyusu bayi kembar adalah cabaran yang hebat bagi ibu bapa yang hebat. Sebaik mengetahui kandungan adalah bayi kembar, ibu-ibu (dan juga bapa-bapa) perlu:
1. bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menerima kehadiran 2 bayi (atau lebih) serentak
2. bersedia untuk kemungkinan bayi lahir pramatang
3. bersedia untuk kemungkinan kelahiran secara pembedahan caesarean
4. membuat perancangan corak penyusuan yang akan diberi kepada bayi

Persediaan mental adalah sangat penting bagi ibu yang bercadang memberikan penyusuan eksklusif untuk bayi kembar kerana akan timbul persoalan tentang “susu tidak cukup”. Ramai menganggap susu ibu akan tidak cukup lebih-lebih lagi pada hari-hari awal kelahiran maka salah seorang atau kedua-duanya secara bergilir mungkin akan diberi susu formula!

Para ibu harus sedar dan yakin bahawa berapa ramai pun kembar yang dilahir serentak, susu ibu pasti cukup untuk mereka. Beberapa tips yang boleh diamalkan:

1. Menyusu seawal 1 jam pertama.
Ramai ibu sudah sedia maklum tentang keperluan menyusu seawal 1 jam pertama ini untuk merangsang penghasilan susu ibu.
Sekiranya ibu melahirkan bayi pramatang dan kurang berat badan, penyusuan ibu adalah ‘ubat’ paling mujarab untuk menambah berat badan bayi kerana susu ibu memang dicipta untuk bayi baru lahir walau berapa pun usianya ketika dia lahir.
Sekiranya ibu melahirkan bayi secara pembedahan caesarean, mintalah bantuan jururawat untuk membantu memposisikan kedudukan ibu untuk menyusu pada jam pertama. Sebaiknya berbincang awal dengan doktor atau jururawat bertugas hasrat ibu untuk menyusu pada 1 jam pertama sebaik mengetahui pembedahan akan dijalankan.

2. Menyusu sekerap mungkin
Secara puratanya bayi baru lahir menyusu antara 8-12 kali dalam tempoh 24 jam. Bagi bayi kembar, ibu-ibu boleh menyusu kedua-duanya serentak pada masa yang sama atau secara bergilir mengikut keselesaan ibu. Rujuk rajah posisi penyusuan bayi kembar seperti di bawah.
Pada minggu-minggu pertama mungkin ibu-ibu akan merasakan bayi menyusu agak kerap dan keadaan ini akan meletihkan ibu. Ia adalah perkara normal sebelum bayi menunjukkan pola penyusuannya selepas usianya sebulan. Malah perkara ini harus diterima positif oleh ibu kerana ini menandakan keperluan bayi untuk menyusu tinggi maka ia akan menghantar isyarat ke otak bahawa penghasilan susu ibu harus ditingkatkan.
Susukan bayi sebelum dia menangis. Pada hari-hari awal kelahiran, biasakan rutin menyusu setiap setengah jam. Jika ibu menyusu bayi seorang demi seorang aturkan masa menyusu supaya si kembar tidak menangis ketika yang seorang lagi sedang menyusu.

3. Banyakkan berehat
Ibu-ibu perlu berehat dengan secukupnya untuk mengurangkan stress yang akan mengganggu penghasilan susu ibu. Ibu boleh tidur apabila bayi tidur. Sesetengah ibu selalu menjadikan masa tidur bayi sebagai masa ibu untuk membuat kerja. Ini adalah kurang tepat kerana ibu juga perlu berehat dan menenangkan fikiran. Suami harus memainkan peranan membantu menguruskan perkara-perkara lain sementara ibu menumpukan kepada menguruskan bayi.

4. Minum banyak air dan makan makanan berkhasiat
Air adalah komponen penting dalam penghasilan susu ibu. Amalkan minum air sambil menyusu atau selepas menyusu sekurang-kurangnya segelas air, jus atau susu. Ibu menyusu perlu makan makanan berkhasiat secukupnya untuk menampung kehilangan kalori semasa penyusuan. Ibu-ibu juga digalakkan makan vitamin, kalsium dan zat besi seperti yang diambil semasa hamil.

5. Hadkan pelawat
Perkara ini mungkin agak sukar untuk dilakukan kerana ramai pelawat yang terdiri daripada rakan-rakan, jiran dan saudara mara ingin berkongsi kegembiraan dengan kehadiran bayi kembar. Namun begitu ibu masih perlu memperuntukkan masa bersama bayi terutama privasi ketika menyusukan bayi. Minta pelawat tinggalkan bilik ketika masa menyusu telah tiba, ambil masa privasi anda kerana ianya penting untuk memastikan kelangsungan produksi susu ibu.

6. Bersedia dengan soalan “Cukupkah susu?”
Soalan ini mungkin akan ditanya oleh ramai orang malah mungkin dari diri ibu sendiri. Biarpun ibu menyedari tentang konsep “demand and supply” dalam proses penghasilan susu ibu namun soalan ini mampu menggugat kepercayaan dan keyakinan ibu untuk menghasilkan susu yang mencukupi untuk bayi. Abaikan soalan-soalan sebegitu malah tidak perlu berhujah panjang untuk menyakinkan orang lain tentang “cukup susu”. Apa yang penting ialah yakinkan diri sendiri dan pasangan bahawa susu ibu mencukupi untuk menampung keperluan kedua-dua bayi kembar. Banyakkan berdoa semoga Allah melimpahkan rezeki untuk anak-anak.

7. Posisi penyusuan ibu
Berikut adalah rajah posisi yang boleh dipilih untuk ibu menyusukan bayi kembar. Ibu boleh menyusu serentak kedua-dua bayi dalam satu masa atau menyusu seorang dahulu kemudian diikuti oleh seorang lagi atau minta bantuan orang lain memberi susu perahan kepada seorang bayi sementara ibu menyusu yang seorang lagi. Pastikan kedua-duanya mendapat peluang direct feeding yang sama.
Walau apa pun posisi yang dipilih oleh ibu pastikan ianya selesa, tidak menyakitkan bahagian belakang atau abdomen. Gunakan banyak bantal sebagai sokongan.

Posisi Penyusuan Ibu untuk Bayi Kembar

8. Persediaan Susu Perahan
Ibu-ibu perlu bersedia dengan stok susu perahan sebagai persediaan untuk kembali bekerja. Untuk bayi kembar sudah semestinya keperluannya sekali ganda jika dibandingkan dengan seorang bayi sahaja. Bersedialah dengan mula memerah seawal 2 minggu selepas bayi lahir untuk mendapatkan stok yang mencukupi untuk keperluan 2 orang bayi.

Kepada ibu-ibu yang akan melahirkan bayi kembar, tahniah saya ucapkan. Sesungguhnya anda telah Allah pilih untuk dikurniakan 2 orang zuriat pada satu masa. Yakinlah bahawa Allah akan mengurniakan bersama kelahiran itu rezeki (susu ibu) yang mencukupi untuk mereka. :)

Sumber: La Leche League International, breastfeedingbasics.org, breastfeeding.com

10 Responses to “Menyusu Bayi Kembar”

  • Mama Ima:

    Salam..terima kasih kak nieza krn tlh byk beri infoyg sgt b’guna kpd saya.

  • roslina:

    salam..terima kasih ats info yg diberi..sememangnya sy agak stress bila memikirkan bgmn nk menyusu bayi kembar sy serentak krn bayi sy selalu bangun serentak w/pun sy sdh cuba mrnyusu pd waktu berlainan..

    sama-sama kasih. jgn stress… nanti menjejaskan penghasilan susu ibu. jadikan sesi menyusu si kembar suatu sesi yg menyeronokkan :)

  • ummi:

    askum kak.. First sekali banyak info yang saya dpt dr blog akak. Ty kak..
    Kak kat sini saya ada berapa pertanyaan. Dan saya masih tak dapat jawapan…

    1) bagaimana kite nak nyusukn bayi kembar andai kata kite di operation? saya bakal melahirkan bayi kembar bulan3 tahun hadapan(insyaallah). Tapi saya takut andai dibedah saya sukar untuk duduk menyusukan bayi kembar saya. Ini saya lihat sendiri dr penglihatan sy dimana kakak sya mengalami kesukaran untuk duduk menusukan bayinye selepas operation..

    2) sy memang memasang niat untuk menyusukan anak kembar sy. Coz sy terkilan kerana kurang pengalaman dan sokongan dr keluarga yang lebih menggalakkan susu formula anak sy hanya sempat Bf samapi umur 5 bulan. Apakan persediaan yang saya perlu lakukan untuk menjayakan niat murni sy ini?

    3) Saya tengah hamil 4 bulan. Adakah terlalu awal untuk sy membeli alat mengepam susu (spectra 3)? ada org mengatakan biar kandungan dah 7bulan ke atas baru elok untuk membeli. adakah benar tanggapan ini kak???

    Saya harap soalan sya ini di jawap oleh akak.
    Ty..

  • warda:

    salam…tq for the info
    sy merupakan ibu kepada twin…my twin br 3buln…
    nie sedang berusaha utk terus bf twin….walaupon twin dah diberi fm…
    tp nie sdng berusaha tuk kurngkan ataw tinggal kan fm….
    mmg cr info utk menaikkan semangat utk bf twin…
    nk tanya:
    if p outing bagaimana cara nk simpn ebm…persediaan if xsempt nk direct bf twin…

    salam, semoga berjaya. berfikir positif bahawa susu ibu sentiasa cukup untuk berapa org pun anak2 yg menyusu :)
    jika outing dan tidak sempat menyusu direct, bawa ebm dlm cooler bag, panaskan apabila hendak digunakan. tetapi lebih baik menyusu direct kerana lebih banyak kebaikannya… antaranya dari segi kandungan nutrien dan antibodi, rangsangan pada payudara dll.

  • elmi amni:

    jmpa jga akhrny info ni, sikit sbnyk pasti mmbantu saya, walau ni msuk baby yg ke3, tpi risau jga sb kembar

  • Salam..jazakallah…terima kasih byk2 dgn info yg diberi. menggu kelahiran bb twins mmg sronok tp diakui perlu mantap mental & fizikal.
    Insya Allah info yg dikongsi ini akn djadikn panduan.

    Terima kasih

  • mar:

    Terima kasih untuk info yang sangat berguna. Twin saya lahir prematured dan bermasalah dari segi nak naikkan berat badan. Semasa di NICU mereka diberi susu badan sepenuhnya tetapi since balik rumah, berat twin menyusut. Last resort, saya terpaksa top-up dengan formula. Sekarang ni saya tetap menyusu badan wpun dicampur fm. Walaupun rasa kecewa tetapi sekurang-kurangnya twin saya tidak menolak susu saya. Cuma saya sedang berusaha untuk memberi lebih banyak susu badan berbanding fm (sangat susah!). Sama kes seperti mommy Warda dan mommy Roslina, twin saya kerap jaga/nangis serentak dan sukar untuk beri susu badan pada kedua-duanya. Akhirnya salah seorang akan diberi formula juga.

    p.s. ada support group tak untuk ibu-ibu kembar yang ingin menyusu secara eksklusif?

    salam. puan kena lebih kerap mengepam dan mempunyai stok susu sekali ganda lebih banyak berbanding ibu yg menyusu seorg bayi. adalah lebih baik jika seorg menyusu direct manakala seorg lagi menyusu susu perahan berbanding susu formula…

  • mamazie:

    Asslam…saya sedang mengandungkan bayi kembar. saya telah mempunyai 2 orang anak yang telah berusia 8 & 6 tahun. masalah penyusuan saya pada dua orang anak yang lalu ialah puting saya tenggelam…anak2 saya tidak mahu menyusu kerana mereka keliru puting. sekarang..saya telah pun berusaha membeli alat2 bagi membantu agar puting semakin timbul. saya telah berazam ingin menyusukn anak kembar saya ini dengan bf tapi saya amat risau dengan masalah yang sama yang akan timbul seperti anak2 yg terdahulu memandangkan saya tidak berpengalaman menyusukan (BF) anak2 lain dengan berjaya.harap dapat bantuan…TQ

  • ino yang sangat berguna.. anak saya twins & prem 24week… alhamdulillah saya masih menyusukan twins saya dgn susu badan… moga2 saya dpt menyusukan anak2 saya sehingga umo meraka 2 thn… doakan saya ea…

    boleh tak saya share info nie.. tq :)

  • Aifa:

    Salam, Puan. Saya menyimpan susu perahan dalam ruangan chiller peti ais 2 pintu. Pada hari keempat, pengasuh bagitau bahawa susu telah masam. adakah susu saya tidak sesuai untuk simpanan stok yang lebih lama?

    as salam. susu perahan biasanya boleh bertahan sehingga 5-7 hari di ruangan chiller. Pastikan langkah-langkah kebersihan telah diambil sebaiknya dalam menyediakan susu perahan. Pastikan botol telah disteril (direbus/direndam dalam air panas), peralatan pemerahan yang digunakan seperti breast shield, membran dan valve pada breast pump juga disteril serta memerah dalam persekitaran bilik yang bersih. Juga jangan lupa cuci puting payudara dengan bersih setiap kali mandi dan sebelum memerah. Walaupun semua langkah-langkah kebersihan telah diambil, pertumbuhan bakteria masih boleh berlaku. Jika susu perahan puan masih juga masam selepas hari keempat, pilihan yang boleh dibuat ialah simpan susu di ruangan beku pada hari ketiga.

Leave a Reply

Selamat Datang
Selamat Datang ke laman blog Mom's Choice. Semoga bakal ibu (dan bapa) mendapat manfaat daripada pengkongsian ilmu berkaitan Penyusuan Ibu dalam laman ini.
Takwim
November 2014
M T W T F S S
« Oct    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
Tags
Copy Protected by Chetans WP-Copyprotect.