Posts Tagged ‘berhenti menyusu’

Penyusuan Ibu ketika Hamil

Assalamu’alaikum

Ada 1 persoalan berkaitan penyusuan ketika hamil yang menarik minat saya untuk mengulas..

salam. sy tengah pregnant 4 bulan & bulan 7 ni genap anak sy yg sulung 2 tahun. sekarang im a preggy BF mommy. Mmg sgt2 mencabar. dengn nips sakit tapi ku tahan jugak. anak plak alergi susu lembu yg teruk & dia taknak langsung susu soya
cuba2 jugak bagi. tapi dia baling botol.
apekah cara terbaik utk wean off? leh tak kasi tips?
sbb anak sy baru 20 bulan. bercakap pon belum tahu..if dah leh becakap n faham ape kita kata senang skit kan..huhu

Ibu yang hamil dan dalam masa yang sama masih menyusukan si kakak atau abang sering menghadapi dilema sama ada untuk meneruskan penyusuan atau memberhentikan penyusuan ibu. Antara kebimbangan ibu yang paling biasa ialah

  • risiko keguguran
  • menjejaskan perkembangan bayi dalam kandungan,
  • bayi dalam kandungan tidak mendapat nutrien secukupnya,
  • orang tua kata “susu tu untuk adik dlm perut”
  • tanggapan masyarakat… kelihatan “pelik” bila anak yang “besar” menyusu ketika ibu hamil

Namun begitu ibu masih boleh memilih untuk meneruskan penyusuan ibu walaupun ibu sedang hamil. Tiada rekod, bukti atau maklumat kesihatan yang mengaitkan penyusuan ketika hamil dengan masalah atau kesan sampingan ke atas ibu hamil atau anak dalam kandungan. Walau bagaimana pun ibu akan merasa perubahan yang ketara seperti sakit pada puting, rasa susu berubah dan kuantiti susu berkurang ketika hamil. Ketiga-tiga perkara ini berkait rapat dengan perubahan hormon ketika hamil. Oleh itu dalam sesetengah keadaan, anak akan berhenti sendiri menyusu dari ibunya kerana dapat mengesan rasa yang berbeza dan kuantiti yang berkurang. Walau bagai manapun ada juga anak yang tidak kisah dengan rasa yang berbeza dan kuantiti yang kurang kerana penyusuan baginya lebih kepada inginkan “comfort”, belaian dan dakapan sahaja.

Oleh kerana kesakitan puting berkait dengan perubahan hormom, tiada rawatan atau penyelesaian yang sesuai ututk menghilangkan kesakitan itu. Apa yang boleh dilakukan ialah memendekkan waktu penyusuan, mengurangkan kekerapan penyusuan atau memperbetulkan “latching” seperti meminta anak yang menyusu membuka mulut luas-luas untuk memastikan dia tidak menghisap hujung (puting) sahaja.

Ibu hamil yang pada masa yang sama menyusukan anak yang lebih besar perlu memastikan dirinya mengambil makanan berkhasiat yang seimbang, pertambahan berat badan bersesuaian dengan usia kehamilan dan mendapat rehat secukupnya. Ibu yang sihat tidak perlu bimbang masalah kekurangan nutrien untuk bayi dalam kandungan dan nutrien dalam susu ibu untuk anak besar yang sedang disusukan. Apa yang penting ialah pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang sesuai dengan keperluan ibu, bayi dalam kandungan dan anak besar yang disusukan. Oleh itu jika semasa pemeriksaan bulanan di klinik mendapati ibu-ibu tiada masalah maka penyusuan ibu masih boleh diteruskan untuk anak yang lebih besar. Malah penyusuan itu masih boleh diteruskan selepas bayi dalam kandungan lahir kelak. Keadaan bila mana ibu menyusukan bayi baru lahir dan si kakak atau abang yang lebih besar dikenali sebagai “tandem nursing”.

Saya kini sedang hamil kandungan ke 4 nak masuk 6 bulan dan masih menyusukan anak ke3 yang berusia 3 tahun. Saya pernah cuba menghentikan penyusuan ibu tetapi nampaknya si anak belum bersedia untuk berhenti. Maka penyusuan masih diteruskan atas permintaan.

sudah 3 tahun ya

sudah 3 tahun ya

 

Namun begitu jika ibu bertekad juga untuk menghentikan penyusuan ibu kerana anak sudah “besar” dan penyusuan sudah lengkap 2 tahun maka ibu perlu menyediakan si anak untuk sama-sama bersedia untuk berhenti menyusu. Bagaimana menghentikan penyusuan ibu? Boleh baca artikel saya yang terdahulu… “Wean Like A Winner” di sini dan kisah saya menghentikan penyusuan anak ke2 pada usianya 5 tahun di sini.

Dalam kes kehamilan yang bermasalah atau ibu ada sejarah keguguran pada kehamilan yang lalu, ibu boleh mendapatkan nasihat doktor atau pakar perbidanan sama ada mahu meneruskan penyusuan atau memberhentikan penyusuan ibu. Kemungkinan untuk berlaku keguguran adalah antara 16-30% pada awal kehamilan namun tiada kajian yang mengaitkannya secara langsung dengan penyusuan ibu.

Kesimpulannya, ibu-ibu boleh memilih sama ada untuk memberhentikan atau meneruskan penyusuan ibu ketika hamil. Bagi ibu-ibu yang bercadang untuk meneruskan penyusuan ibu, pastikan ibu-ibu mengambil makanan berkhasiat yang seimbang sesuai dengan keperluan ibu, bayi dalam kandungan dan anak besar yang disusukan. Pengambilan supplemen tambahan digalakkan bagi menampung kekurangan nutrien yang diperolehi daripada menu harian.

Set Kehamilan

Set Kehamilan

 

 

Rujukan: breastfeedingbasics.com

 

 

 

 

 

(Kisah benar) proses bercerai susu

Perbualan mak dan anak yang dalam proses bercerai susu…

Situasi 1:

Mak: Adik dah besar… adik tak payah le tek (menyusu) lagi.

Anak: Nak tek jugak… nak tek jugak…

Mak: Kawan-kawan adik kat sekolah (tadika) tak tek dah kan?

Anak: Kawan-kawan kat sekolah pun tek jugak…

Mak: Tak…. kawan-kawan adik minum susu botol kan?

Anak: Minum susu botol tu tek lah… sama lah tu…

Mak: Bila adik nak berhenti tek?

Adik: Nanti adik 10 tahun adik sekolah convent (SK Convent) adik tak tek lah…

Mak: Waaaaa…. lambat lagi tu….!!!

Adik: Tak pe lah… lepas 6 tahun, 7 tahun, lepas 7 tahun, 8 tahun, lepas 8 tahun, 9 tahun, lepas 9 tahun, 10 tahun lah..

Mak: ye lah… ye lah… tak lama lah tu…

 

Situasi 2:

Selepas disahkan hamil…

Mak: Nanti dah ada baby adik berhenti tek tau…

Anak: Kenapa…??

Mak: Nanti baby pun nak tek jugak…

Anak: Tak pe lah… nanti baby tek sebelah sini (kanan) adik tek sebelah sini (kiri).

Mak: Kena tunggu baby keluarlah, baru boleh kongsi tek.

Anak: Bila baby nak keluar?

Mak: Lambat lagi… bulan 9 atau bulan 10.

Anak: Sekarang bulan berapa?

Mak: Bulan 2…

Anak: Lepas bulan 2 bulan berapa?

Mak: Bulan 3…

Anak: Lepas bulan 3 bulan berapa?

Mak: Bulan 4…

Anak: Lepas bulan 4 bulan berapa?

Mak: Bulan 5… lepas tu bulan 6, 7, 8, 9, 10…

Anak: oooo lambat lagi baby nak keluar ni… (sambil muka begitu serius memikirkan sesuatu…)

 

Situasi 3:

Selepas balik dari berjumpa pakar O & G kerana berlaku sedikit pendarahan (pada usia kehamilan 8 minggu)

Mak: Adik, tadi doktor cakap adik tak boleh tek dah… (doktor tak cakap pun, sudah tentu doktor tak tanya adakah masih menyusu kerana melihatkan usia anak terdahulu nak masuk 6 tahun)

Anak: Kenapa…?

Mak: hmmm… tek mak sakit… tek dah habis… tek kena simpan untuk baby nanti…

Sebenarnya tiada alasan… boleh saja meneruskan penyusuan ketika hamil tetapi memandangkan usianya sudah hampir 6 tahun, maka sangat wajar untuknya berhenti menyusu…

Setelah puas memujuk, sesekali menangis teresak-esak meminta terutama sebelum tidur, dilekakan dengan pelbagai cara… bercerita… berbual tentang sekolah… membaca doa… dan lain-lain sehingga terlena… akhirnya dia tidak meminta lagi…

Dengan rasminya dia berhenti menyusu pada tanggal 24 Februari 2011 pada usia 5 tahun 4 bulan…

 

Wean Like A Winner

Pernahkah mendengar slogan “Membesar bagai Johan” dalam iklan susu formula sekitar tahun 80an?? Benarkah anak-anak susuan susu formula itu telah membesar dengan jayanya?? Istilah “membesar” itu sendiri mempunyai tafsiran yg pelbagai… Artikel ini tidak mahu bicara lanjut tentang perkara membesar bagai johan itu… Fikir-fikirkanlah…

Wean like a winner… bercerai susu bagai juara!! Mengapa?

Kerana…

  1. Bayi menyusu seawal 1 jam pertama sebaik dilahirkan. Bermakna bayi telah mendapat khasiat kolostrum yang tidak ternilai harganya. Kolostrum yang hadir hanya sekali sepanjang hayat seorang manusia!
  2. Bayi telah menyusu secara eksklusif selama 6 bulan pertama… tanpa susu formula atau minuman lain waima air masak. Bermakna bayi telah mendapat khasiat sepenuhnya susu ibu. Bayangkan setiap inci tubuh badan bayi yang membesar dari sedetik usianya hingga 6 bulan adalah terbina daripada asid amino (protein), karbohidrat, kalsium, zat besi dan nutrien-nutrien lain yang disalurkan oleh titis-titis susu ibu… alangkah!
  3. Bayi diperkenalkan dengan makanan pejal pertamanya hanya selepas 6 bulan tetapi penyusuan ibu masih diteruskan sehingga 2 tahun. Bayi masih mendapat khasiat kebaikan susu ibu. Yang lebih penting selepas tempoh ini hubungan keakraban (bonding) ibu dan anak tetap terjalin erat.
  4. Bayi dan ibu boleh saja memberhentikan penyusuan ibu (bercerai susu) pada bila-bila masa selepas 2 tahun tetapi ada juga bayi (dan ibu) yang tidak mahu “berpisah”. Bayi yang menyusu daripada ibu masih mendapat nutrien yang terdapat pada susu ibu yang segar.

Mereka telah menjadi JUARA !!!

Bercerai susu (weaning off)

Ramai para ibu tertunggu-tunggu usia anak mencecah 2 tahun kerana dirasakan di situlah ukuran kejayaan ibu menyusukan anak sebagaimana yg telah digariskan di dalam Al Quran mengenai penyempurnaan penyusuan anak sehingga usia 2 tahun.

Sebab-sebab ibu mahu bercerai susu:

  1. ibu sudah bersedia untuk hamil semula atau ibu sedang hamil; atau
  2. ibu yang tandem nursing sebelum ini ingin menumpukan perhatian untuk melengkapkan penyusuan si adik pula; atau
  3. ibu tidak mahu lagi mengusung breast pump dan peralatan penyusuan ibu ke pejabat setiap hari; atau
  4. ibu tidak mahu orang sekeliling memandang serong kerana anak ‘sudah besar’ masih menyusu badan; atau
  5. ibu sudah penat!!

Namun begitu ibu-ibu tidak perlu tergesa-gesa untuk menceraikan susu sebaik anak mencecah usia 2 tahun 1 hari! Proses bercerai susu memerlukan ‘persetujuan’ kedua-dua pihak iaitu ibu dan anak. Selalunya ibulah yang telah bersedia untuk memberhentikan penyusuan ibu tetapi jarang sekali anak yang telah menyusu selama 2 tahun itu menolak susu ibunya.

Memberhentikan penyusuan ibu boleh dilakukan secara perlahan-lahan.

  1. Beritahu anak bahawa dia ‘sudah besar’ dan boleh mula kurang menyusu
  2. Kurangkan sesi penyusuan sebaliknya gantikan dengan makanan pejal yang lebih mengenyangkan
  3. Habiskan stok susu (iaitu EBM) di dalam simpanan
  4. Tawarkan hanya direct feeding terutama pada waktu malam (proses menghentikan penyusuan malam adalah yang paling sukar!)
  5. Tawarkan susu ibu hanya apabila anak minta
  6. Tidak perlu memaksa anak minum susu formula sebagai ganti susu ibu. Jika anak tidak mahu tawarkan apa saja minuman yang berkhasiat seperti susu segar, minuman koko atau malt,  fresh juice dan lain-lain
  7. Kekalkan hubungan akrab dengan anak seperti mendakap dan bermesra dengannya pada bila-bila masa

The winner is…..

Nour Insyirah Syamimie

Hari ini 11 Oktober 2010 genap usia Nour Insyirah Syamimie 5 tahun… dan dia masih menyusu badan :)

Selamat Datang
Selamat Datang ke laman blog Mom's Choice. Semoga bakal ibu (dan bapa) mendapat manfaat daripada pengkongsian ilmu berkaitan Penyusuan Ibu dalam laman ini.
Takwim
November 2014
M T W T F S S
« Oct    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
Tags
Copy Protected by Chetans WP-Copyprotect.