Posts Tagged ‘kelenjar mamari’

Peranan Hormon dalam Penghasilan Susu Ibu

Ada beberapa hormon penting yang terlibat dalam penghasilan susu ibu:

  1. Progesteron
  2. Estrogen
  3. Prolaktin
  4. Oksitosin

Penghasilan susu ibu bermula daripada peringkat mamogenesis (pembentukan dan kematangan kelenjar mamari), diikuti dengan laktogenesis (penghasilan dan pancutan susu ibu) dan seterusnya laktasi (pemberian/penyusuan susu ibu kepada bayi).

Empat hormon yang disenaraikan di atas memainkan peranan dalam ketiga-tiga fasa penyusuan ibu tersebut. Corak rembesan hormon-hormon ini merupakan suatu proses homeostasis yang mana pertambahan satu faktor akan memberi kesan (sama ada meningkatkan atau mengurangkan) rembesan hormon-hormon tersebut. Peningkatan dan pengurangan rembesan hormon-hormon ini seterusnya memberi kesan kepada kuantiti susu ibu yang dihasilkan.

Progesteron – penting semasa pembentukan dan kematangan kelenjar mamari, mempengaruhi saiz alveolus dan lobus di dalam payudara wanita hamil. Kandungannya berkurang apabila kelahiran berlaku.

Estrogen – juga merangsang perkembangan  dan kematangan kelenjar mamari.

Prolaktin – merangsang penghasilan susu ibu.

Oksitosin – merangsang pancutan susu ibu, merangsang pengecutan uterus selepas kelahiran.

……………………………………………………………………………………

Nota: Satu contoh homeostasis yang mudah… kawalan air kencing oleh ginjal. Apabila cuaca panas, kandungan air dalam badan akan berkurang kerana dikeluarkan sebagai peluh. Kekurangan kandungan air dikesan oleh reseptor akan menyebabkan hormon ADH dirembeskan dengan banyak oleh kelenjar pituitari. Kehadiran hormon ADH yang banyak akan menambahkan ketelapan tubul ginjal terhadap air, maka air yang akan dibuang sebagai air kencing diserap semula ke dalam darah. Kesannya air kencing menjadi pekat kerana kandungan air di dalamnya kurang. Keadaan sebaliknya berlaku apabila cuaca sejuk, itulah sebabnya mengapa kita kerap kencing bila hari hujan! ooppsss…

Anatomi Payudara

Penting untuk mengetahui anatomi payudara supaya kita faham bagaimana ia berfungsi dan bagaimana mengekalkan fungsinya… (bukan senang untuk mengekalkan penghasilan susu berterusan selama 6 bulan dan seterusnya 2 tahun!)

Mammary Glands
Mammary Gland

Kelenjar Mamari
Kelenjar mamari atau kelanjar susu adalah suatu organ yang terdapat pada mamalia betina (perempuan) untuk menghasilkan susu untuk anaknya. Kelenjar eksokrin ini merupakan ciri mamalia iaitu menyusukan anak dan juga daripada mana nama kelas “mamalia” itu sendiri terhasil.

Struktur kelenjar susu.
Komponen asas kelenjar susu adalah alveolus yang dilapisi sel perembes susu dan dikelilingi oleh sel mioepitelia. Alveolus ini berkumpul untuk membentuk sekumpulan lobus dan setiap lobus mempunyai duktus laktiferus yang menjurus ke bukaan pada puting susu. Sel mioepitelia boleh mengecut, sama seperti sel otot, dan seterusnya menolak susu daripada alveolus melalui duktus laktiferus ke arah puting di mana susu akan terkumpul pada duktus sinus di bawah areola.

Perkembangan dan kawalan hormon
Perkembangan kelenjar susu dikawal oleh hormon. Kelenjar susu sebenarnya terdapat pada kedua-dua jantina lelaki dan perempuan. Namun begitu kesan rembesan hormon pada ovari merangsang perkembangan kelenjar susu pada perempuan. Hormon estrogen menggalakkan perkembangannya manakala hormon testosterone merencat pertumbuhannya.

Pembentukan kelenjar susu sudah terbentuk sejak kelahiran lagi, iaitu pembentukan duktus laktiferus tetapi tiada alveolus. Semasa akil baligh hormon estrogen mula dirangsang untuk menghasilkan cabang-cabang duktus yang kemudiannya akan berkembang menjadi alveolus. Alveolus sebenar hanya akan terbentuk semasa kehamilan dengan pertambahan hormon estrogen dan progesteron yang akan membentuk lebih banyak cabang duktus serentak dengan pembentukan lebih banyak tisu adipos dan salur-salur darah.

Kolustrum akan mula dihasilkan pada peringkat akhir kehamilan dan seterusnya pada hari-hari awal selepas kelahiran. Susu sebenar akan dihasilkan beberapa hari selepas itu apabila kandungan progesteron mula menurun manakala kandungan prolaktin mula meningkat. Hisapan bayi akan merangsang pengeluaran oksitosin yang akan merangsang pengecutan sel mioepitelia yang menyebabkan pancutan susu.

Selamat Datang
Selamat Datang ke laman blog Mom's Choice. Semoga bakal ibu (dan bapa) mendapat manfaat daripada pengkongsian ilmu berkaitan Penyusuan Ibu dalam laman ini.
Takwim
April 2017
M T W T F S S
« Jun    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
Tags