Posts Tagged ‘Masalah Penyusuan’

Relaktasi

Definisi relaktasi (relactation) menurut Dr. Jack Newman,

Relactation refers to restarting breastfeeding with the same baby after it has been stopped for some reason.

Sebab-sebab sesetengah ibu berusaha untuk relaktasi adalah kerana bayi tidak sesuai dengan susu formula, masalah kesihatan bayi, kekesalan kerana berhenti menyusukan bayi terlalu awal atau mungkin kerana perubahan tugas sepeti berhenti kerja dan menjaga bayi sepenuh masa.

Usia 6 bulan ke bawah adalah usia yang realistik untuk kejayaan relaktasi namun ibu-ibu masih boleh berusaha untuk relaktasi jika usia bayi lebih daripada 6 bulan.

Dalam usaha untuk menjayakan relaktasi, ada 2 perkara yang perlu diambil perhatian:

  1. memujuk bayi untuk kembali menyusu daripada payudara ibu;
  2. mencetuskan penghasilan susu (jika susu sudah “tiada”) atau meningkatkan penghasilan susu (jika susu ibu kurang).

Kebarangkalian untuk kejayaan relaktasi bergantung kepada beberapa faktor:

Faktor #1 – Pengeluaran susu sebelum berhenti

  • Jika ibu pernah menghasilkan susu yang banyak sebelum berhenti menyusu dahulu, kemungkinan untuk menghasilkan susu semula adalah lebih tinggi.
  • Namun begitu jika bayi berhenti menyusu dahulu kerana ibu “kurang susu”, ibu masih boleh mencetuskan susu semula kerana kemungkinan “kurang susu” berlaku kerana kesilapan teknikal.

Faktor #2 – Berapa lamakah bayi sudah berhenti menyusu daripada ibu?

  • Semakin lama bayi sudah berhenti menyusu, semakin sukar untuk memujuknya kembali menyusu daripada ibu.
  • Memang lebih sukar untuk memujuk bayi yang lebih besar untuk kembali menyusu daripada ibu kerana kebiasaan yang “selesa” dengan penyusuan botol dan susu formula.
  • Namun begitu ibu-ibu masih boleh berusaha untuk relaktasi, walaupun tidak berjaya untuk menyusu secara eksklusif tetapi sekurang-kurangnya sedikit itu lebih baik daripada tiada.

Faktor 3# – Berapa lamakah tempoh bayi pernah menyusu daripada payudara ibu?

  • Semakin lama tempoh bayi pernah menyusu daripada ibunya semakin mudah untuk memujuknya menerima susu ibu semula.
  • Jika bayi pernah menyusu secara eksklusif  selama 16 minggu (4 bulan), lebih mudah untuknya kembali menyusu daripada ibu berbanding bayi yang hanya menyusu 2 bulan sahaja.
  • Namun sekali lagi ditegaskan, ibu-ibu masih boleh berusaha untuk relaktasi.

Faktor #4 – Kesediaan ibu.

  • Relaktasi memerlukan kesediaan yang bersungguh-sungguh daripada ibu.
  • Ibu yang tidak bekerja memang lebih mudah untuk relaktasi kerana relaktasi memerlukan usaha dan kesabaran yang tinggi.
  • Sesetengah ibu yang bekerja mengambil cuti panjang untuk menjayakan relaktasi.

Bagaimana caranya?

1. Relaktasi apabila bayi bersedia menyusu daripada payudara ibu.

  • Jika bayi dapat menerima puting payudara ibu maka usaha relaktasi menjadi lebih mudah.
  • Bagaimana melatih bayi menerima payudara ibu semula?
  1. Kebiasannya ibu-ibu mula melatih bayi menerima payudara ibu pada waktu malam sebelum tidur;
  2. Tawarkan puting payudara ibu pada ketika bayi dalam keadaan relaks, tidak terlalu lapar, tidak terlalu mengantuk, dalam bilik yang agak gelap, dan tiada gangguan bunyi bising;
  3. Ambil masa untuk mendakap, membelai dan mengusap bayi dengan lembut dan mesra;
  4. Jadikan sesi penyusuan sebagai sesi yang membahagiakan;
  5. Jika bayi menolak payudara ibu, jangan berputus asa, bersabar dan cuba lagi.
  6. Jangan memaksa bayi menerima payudara kerana ini menyebabkan bayi stress.
  • Ada 2 paten penerimaan bayi terhadap payudara ibu;
  1. bayi menghisap puting payudara ibu untuk ketenangan seolah-olah seperti menghisap pacifier (puting kosong) dan bayi tidak kisah dengan pengeluaran susu ibu yang sedikit.
  2. bayi menerima payudara ibu kerana merasa ada susu dihasilkan tetapi berhenti sebaik penghasilan susu berkurang.
  • Paten 1. Jika bayi hanya menghisap payudara untuk menenangkannya, ibu-ibu wajar memberhentikan pemberian puting kosong secara perlahan-lahan.  Gantikan dengan penyusuan daripada payudara ibu.
  • Namun begitu ibu masih perlu menggunakan lactation aid (sejenis peralatan khusus) yang diisi dengan susu formula.
  • Biarkan bayi menghisap payudara ibu untuk merangsang pernghasilan susu ibu.
  • Jika susu ibu dihasilkan dengan baik, kurangkan pengaliran susu melalui lactation aid.
  • Paten 2. Sebaliknya jika bayi menghisap payudara ibu kerana mahukan susu ibu, lactation aid yang diisikan susu formula boleh digunakan.
  • Susu formula di dalam lactation aid perlu diberikan supaya bayi tidak mengamuk kerana kekurangan susu.
  • Rasionalnya ialah jika bayi mengamuk dia mungkin menolak terus payudara ibu maka rangsangan terhadap payudara ibu tidak dapat dilakukan.
  • Jika bayi terus mengamuk dan tidak mahu menyusu lagi daripada payudara ibu,  jangan putus asa… tawarkan susu formula kepada bayi tetapi beri bayi minum menggunakan sudu/cawan dan bukannya botol dan puting tiruan kerana bayi akan keliru puting dan usaha menggembalikan bayi kepada payudara ibu akan terganggu.
medela sns

MEDELA Supplemental Nursing System (SNS)

2. Relaktasi apabila bayi tidak mahu menyusu daripada payudara ibu.

  • Jika bayi tidak mahu menyusu daripada puting payudara ibu, harapan ibu adalah kepada usaha peningkatan penghasilan susu ibu.
  • Jika susu ibu bertambah kemungkinan untuk bayi kembali menyusu daripada ibu adalah lebih cerah.
  • Atau sekurang-kurangnya ibu boleh memerah susu dan memberikannya kepada bayi.
  • Dalam pada itu ibu boleh melatih bayi secara perlahan-lahan untuk kembali menyusu terus daripada ibu.
  • Bagaimana meningkatkan penghasilan susu?
  1. perah/pam dengan kerap
  2. makan makanan berkhasiat dan seimbang
  3. makan makanan penambah susu seperti Fenugreek
  4. menggunakan ubat-ubatan (minta nasihat doktor) seperti Domperidone (motilium)
  5. kurangkan stress
  6. berfikiran positif

Kesimpulan: Relaktasi bukanlah usaha yang mudah. Ia boleh mengambil masa secepat 2 minggu atau selewat-lewatnya sebulan untuk berjaya atau langsung gagal. Namun ibu-ibu wajar berusaha dengan yakin dan bersungguh-sungguh jika benar-benar mahu menjayakan penyusuan semula kepada bayi. Minta nasihat doktor atau pakar laktasi untuk bimbingan yang lebih sempurna.

Sumber: The Ultimate Breastfeeding Book of Answers by Jack Newman, M.D., and Teresa Pitman; kellymom.com, naturalchildbirth.org, idahopublichealth.com

Kekangan dalam menjayakan Penyusuan Ibu

Seringkali ibu-ibu baru yang bercadang untuk menyusukan anaknya dengan susu ibu secara eksklusif akan menghadapi kekangan dan cabaran seperti berikut:

  1. Kita hidup di dalam masyarakat yang menganggap penyusuan susu formula adalah lumrah (perkara biasa) untuk bayi.
  2. Masyarakat sedar penyusuan ibu adalah baik untuk bayi dan ibu tetapi susu formula masih dilihat pilihan yang baik, tambahan pula dalam keadaan penyusuan ibu tidak begitu berjaya.
  3. Ibu-ibu baru tidak mendapat sokongan keluarga, saudara mara dan rakan-rakan yang menyokong penyusuan ibu atau yang berjaya dalam penyusuan ibu untuk berkongsi pendapat, pengetahuan dan pengalaman.
  4. Profesional kesihatan seperti doktor dan jururawat menerima penyusuan susu formula adalah penyelesaian kepada masalah penyusuan ibu tanpa memberi nasihat /cadangan bagaimana mengatasi masalah penyusuan ibu yang dialami.
  5. Agensi kerajaan tidak memahami kepentingan penyusuan ibu dan mengapa kerajaan harus memperbanyakkan usaha mempromosikan penyusuan ibu.
  6. Media massa memperoleh pendapatan lumayan daripada pengiklanan susu formula tanpa menghiraukan kesan buruk pengaruhnya kepada masyarakat umum.
  7. Syarikat susu formula membelanjakan wang yang banyak untuk promosi yang ada ketikanya melanggar etika yang digariskan dalam kod etika WHO berkaitan promosi dan pemasaran susu formula.
  8. Pandangan umum mengatakan ibu-ibu tidak perlu merasa “bersalah” sekiranya tidak menyusukan anak mereka dengan susu ibu. 

Pendapat umum #1: Kita selalu menganggap jika penyusuan ibu tidak berjaya, penyusuan susu formula adalah pilihan kedua terbaik untuk menyusukan bayi.

Hakikatnya: WHO telah menggariskan secara jelas bahawa susu formula bukanlah pilihan kedua terbaik selepas susu ibu. Pilihan kedua ialah penyusuan susu ibu yang diperah. Jika gagal juga maka pilihan ketiga ialah susu ibu daripada ibu susuan. Jika tidak dapat diperolehi maka barulah susu formula boleh diberikan kepada bayi (pilihan keempat!)

Pendapat umum #2: Profesional perubatan seperti doktor dan jururawat tahu banyak perkara berkaitan penyusuan ibu (atau penyusuan yang sesuai untuk ibu berikan kepada bayinya).

Hakikatnya: Memang semua profesional perubatan menyokong penyusuan ibu kerana agak sukar menafikan kebaikan susu ibu berbanding susu formula. Tambahan pula hampir semua hospital telah menggariskan polisi penyusuan ibu di hospital masing-masing. Namun ramai profesional perubatan tidak dapat membantu ibu sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah berkaitan penyusuan ibu. Ketidakupayaan ini mungkin berpunca daripada pengalamannya sendiri. Pasti sukar memberi nasihat atau galakan kepada ibu-ibu untuk menyusukan bayinya dengan susu ibu sedangkan diri sendiri gagal memberikan susu ibu kepada anaknya. Malah ramai doktor mengakui penyusuan ibu tidak ada di dalam sukatan pelajaran ketika di universiti.

Kenalpasti antara tanda-tanda atau petunjuk seseorang profesional perubatan (doktor/jururawat) menyokong penyusuan ibu:

  • Tidak mempamerkan bahan cetak atau logo mana-mana syarikat pengeluar susu formula di kliniknya termasuk carta pertumbuhan kanak-kanak.
  • Poster, brosur dan maklumat penyusuan ibu dipamerkan di klinik.
  • Menyenaraikan kumpulan sokongan yang boleh dirujuk oleh ibu-ibu sekiranya menghadapi masalah penyusuan ibu.
  • Tidak menyebarkan brosur atau risalah (walaupun berkaitan penyusuan ibu) daripada syarikat pengeluar susu formula.
  • Tidak memberikan “gift pack” berupa sampel susu formula.
  • Sebelum bersalin, ibu-ibu diberi nasihat dan panduan berkaitan penyusuan ibu dan kepentingan penyusuan ibu pada 1 jam pertama selepas kelahiran.

 Kod Antarabangsa Pemasaran Susu Formula (1981).

  • Syarikat pengeluar susu formula tidak boleh memasarkan secara terus sebarang produk (susu formula, botol atau puting tiruan, dan makanan tambahan) kepada pengguna. Wakil syarikat pengeluar tidak dibenarkan mempromosikan produk mereka kepada wanita hamil, ibu-ibu baru atau ahli keluarga mereka terutamanya di wad bersalin, klinik atau hospital.
  • Syarikat pengeluar susu formula tidak dibenarkan memberikan sampel percuma atau potongan harga istimewa kepada wanita hamil, ibu-ibu baru atau ahli keluarga mereka.
  • Informasi saintifik berkaitan susu formula hanya boleh diberikan kepada profesional perubatan.
  • Informasi berkaitan penyusuan untuk bayi hanya boleh diberikan oleh kerajaan bukannya oleh syarikat pengeluar susu formula.
  • Semua sumbangan derma atau peralatan perubatan daripada syarikat pengeluar susu formula kepada pihak tertentu (klinik / hospital) perlu diumumkan secara terbuka dan tiada keistimewaan boleh diberikan kepada syarikat tersebut kerana sumbangannya itu. 

Persoalannya.. adakah kod etika ini dipatuhi sepenuhnya di negara kita??

Sumber: The Ultimate Breastfeeding Book of Answers by Jack Newman, M.D., and Teresa Pitman.

Bengkak Payudara (Breast Engorgement)

Bengkak payudara biasa berlaku pada hari 3-6 selepas kelahiran apabila pengeluaran susu ibu bertambah dengan mendadak. Payudara akan kelihatan penuh, saiz lebih besar daripada biasa tetapi tidak menyakitkan sekiranya ditangani segera. Ini adalah petanda bahawa hormon prolaktin sudah mula berfungsi dengan berkesan (untuk menghasilkan susu baru apabila payudara dikosongkan). Biasanya pembengkakan payudara yang normal tidak menyakitkan dan bayi masih boleh menyusu dengan baik

Namun begitu sekiranya bengkak payudara tidak ditanggani segera, pembengkakan akan menjadi serius, kesannya:

  • payudara menjadi sangat tegang dan kelihatan berkilat,
  • payudara terasa hangat, berdenyut-denyut 
  • puting payudara tertarik menjadi leper,
  • bayi sukar melekap dengan baik,
  • kadangkala terasa sakit sehingga ke bawah ketiak,
  • puting tersumbat, pengaliran susu tidak lancar,
  • boleh menyebabkan ibu demam.

Bagaimana mengelak bengkak payudara?

  1. Susui bayi sekerap mungkin iaitu 10-12 kali dalam tempoh 24 jam, bermakna setiap 2-3 jam sekali termasuk pada waktu malam.
  2. Penyusuan “on demand” iaitu menyusu pada bila-bila masa yang bayi mahu. Tetapi sekiranya bayi asyik tidur, kejutkannya dan susui dia pada selang masa 2-3 jam sekali.
  3. Biarkan bayi “menghabiskan susu” pada sebelah payudara sebelum menawarkan payudara yang satu lagi. Jangan bertukar-tukar payudara sepanjang bayi menyusu.
  4. Pastikan lekapan bayi betul untuk memastikan penyusuan berkesan.
  5. Pastikan posisi bayi menyusu dalam keadaan selesa, tidak menyakitkan ibu dan tidak menekan mana-mana bahagian payudara.
  6. Sekiranya bayi tidak mahu menyusu atau menyusu sekejap-sekejap dan payudara masih berbaki susu, perah susu atau pam payudara untuk mengekalkan penghasilan susu dan mengelakkan pembengkakan.
  7. Elakkan menggunakan bra yang agak ketat dan menekan mana-mana bahagian payudara kerana ini boleh menyebabkan saluran susu tersumbat dan mastitis.

Bagaimana menanggani bengkak payudara?

1. Sebelum menyusu

  • buat urutan lembut pada payudara dari atas menghala ke puting
  • tuam sejuk payudara selama beberapa minit
  • mandi dalam pancuran shower air suam sebelum menyusu untuk melancarkan pengaliran susu (tetapi jgn halakan pancuran terus ke payudara)
  • elakkan tuam panas terlalu lama pada payudara sekiranya pembengkakan sangat serius kerana ia boleh menyebabkan keradangan dan pembengkakan menjadi lebih teruk
  • sekiranya bayi sukar melekap pada payudara kerana puting menjadi leper akibat pembengkakan payudara, perah/pam sedikit susu sebelum bayi menyusu

2. Selepas menyusu dan antara waktu menyusu

  • jika bayi sudah kenyang dan berhenti menyusu tetapi payudara masih terasa berat dan ibu rasa kurang selesa, perah/pam payudara untuk mengeluarkan “semua” susu yang masih ada
  • perahan menggunakan tangan adalah lebih baik kerana ia melancarkan perjalanan susu sepanjang duktus susu; atau gunakan pam dengan kadar sedutan paling rendah untuk mengelakkan kerosakan tisu payudara
  • buat urutan dari atas menghala ke puting semasa memerah susu
  • tuam sejuk payudara (menggunakan ice packs) selama selang masa 20 minit
  • tuam dengan kobis sejuk juga boleh membantu menyusutkan bengkak payudara
  • berjumpa doktor untuk rawatan jika pembengkakan terlalu teruk

 

Sumber: kellymom.com, motherlove.com

Puting Leper (Flat Nipples) dan Puting Tenggelam (Inverted Nipples)

Semua ibu dilahirkan dengan keunikan yang tersendiri. Namun fungsi payudara tetap telah ditentukan untuk penyusuan susu ibu kepada bayi. (Kerana dari situlah kita dikategorikan sebagai mamalia).

Keadaan puting leper (flat nipples) dan puting tenggelam (inverted nipples) boleh terjadi di kalangan 3-10% daripada populasi. Namun begitu keunikan yang tersendiri ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang ibu-ibu terus berusaha untuk menyusukan bayi dengan susu ibu.

Bagaimana menentukan keadaan puting adalah normal, leper atau tenggelam?

Caranya: Dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, picit dengan lembut kawasan areola pada jarak diameter 1 inci daripada puting. 

Puting yang normal akan tertonjol apabila dikenakan tekanan pada areola. Tetapi puting leper tidak tertonjol keluar manakala puting tenggelam akan tertarik ke dalam. Lihat Rajah di bawah:

"Pinch Test" Untuk Menentukan Puting Normal, Leper atau Tenggelam

"Pinch Test" Untuk Menentukan Puting Normal, Leper atau Tenggelam

Bolehkah menyusukan bayi jika puting leper atau tenggelam?

Ibu-ibu perlu yakin bahawa walau bagaimanapun bentuk dan keadaan puting (sama ada leper atau tenggelam) bayi masih boleh menyusu dengan efektif. Ibu-ibu perlu:

  1. Tetapkan keyakinan bahawa ibu boleh menyusukan bayi dengan efektif.
  2. Fahami bahawa semasa penyusuan, mulut bayi perlu merangkum areola bukannya menghisap puting semata-mata.
  3. Latih bayi melekap dengan betul seawal kali pertama bayi mula menyusu daripada ibu (1 jam pertama selepas kelahiran). Rujuk Teknik Lekapan.
  4. Berlatih dengan kerap sepanjang masa rooming-in (ibu bersama bayi di hospital) dan sepanjang masa tanpa jemu dan putus asa.
  5. Letakkan bayi pada posisi yang betul semasa penyusuan. Rujuk Posisi Penyusuan Ibu.
  6. Pelekapan yang baik boleh membantu menonjolkan puting yang leper.
  7. Menyusu bayi sebelum payudara menjadi bengkak. Pembengkakan payudara akan merumitkan keadaan kerana puting akan menjadi lebih leper/tenggelam. (Puting normal pun sukar menyusukan bayi apabila payudara bengkak).
  8. Ibu boleh juga mengepam sebelum menyusu bayi untuk menonjolkan sedikit puting supaya mudah bayi melekap dengan berkesan.

Kesimpulannya walau bagaimanapun keadaan puting sama ada normal, leper atau tenggelam, anak-anak masih berhak mendapat susu ibu daripada ibunya. Ingat! Susu ibu adalah makanan terbaik bagi bayi.

Sumber: askdrsears.com, breastfeedingbasic.com, breastfeeding.hypermart.net, babycenter.com

Melatih bayi yang “keliru puting”

Soalan daripada Hayati;

salam kak nieza….sy dah melahirkan baby 1bln yg lebih. bayi saya tlh keliru puting akibat kesilapan sy sendiri. adakah pengeluaran susu akan bertambah jika hanya dgn mengepam tanpa bayi menyusu direct?sekarang susu sy hampir kering dan ini myebabkan bayi sy menolak utk menyusu badan .sy juga rasa putus asa utk terus mengepam susu…sy betul2 rasa tertekan, bantulah saya….

salam hayati,

ada 2 persoalan besar di sini:

  1. bayi telah keliru puting
  2. adakah susu akan bertambah dengan mengepam sahaja tanpa direct feeding

Umur bayi Hayati baru 1 bln bermakna masih dalam pantang lagi. Masih belum terlambat utk melatih bayi latch on dengan betul dan kembali kepada direct feeding dan juga fully breastfeeding (saya rasa bayi telah diperkenalkan dengan susu formula). Kalau bayi sudah biasa minum susu formula harus hentikan pemberian susu formula dan fokuskan kepada direct feeding sahaja. Pastikan bayi menyusu setiap 1-2 jam sehingga bayi mahir untuk latch on dengan baik. Bayi dilahirkan dengan naluri hisapan yang kuat tetapi pengenalan terlalu awal kepada puting tiruan akan menyebabkan dia lebih selesa menyusu melalui botol kerana lebih senang untuk mendapatkan susu tanpa perlu menggunakan otot mulut dengan kuat.

Untuk melatih bayi kembali kepada direct feeding perlukan usaha kuat dan kesabaran yang tinggi. Pujuk bayi dengan bercakap-cakap dengannya memintanya menyusu pada payudara ibu. Beri dia menyusu ketika dia belum terlalu lapar sehingga mengamuk. Menyusulah dalam posisi yang selesa bagi ibu dan bayi sama ada dalam keadaan duduk atau berbaring. Bayi mungkin akan menguji kesabaran kita dengan cara “mengamuk” dan menolak payudara ibu. Ibu jangan putus asa sehingga mengalah dan akhirnya memberi susu formula di dalam botol kerana kasihan bayi lapar, menangis dan takut perut masuk angin. Inilah rasionalnya proses ini dilakukan ketika bayi belum terlalu lapar. Jika bayi masih menolak dan ibu gagal pada percubaan pertama, beri bayi minum susu ibu yang diperah dengan menggunakan sudu (jangan guna botol dan puting tiruan kerana ia akan memberi signal kepada bayi bahawa adanya alternatif menyusu yang lebih senang dan bayi akan mengulangi taktik yang sama iaitu menangis dan mengamuk). Selepas beberapa ketika cuba ajar lagi bayi menyusu dari payudara ibu. Jangan putus asa kerana Hayati masih dalam pantang dan masih bersama bayi sepanjang masa. Keadaan akan lebih mencabar jika ditangguhkan apatah lagi jika telah kembali bekerja.

Kekurangan susu mungkin satu faktor menyebabkan bayi tidak mahu menyusu terus daripada payudara ibu. Penghasilan dan pengeluaran susu memang akan bertambah dengan kerapnya mengepam. Tetapi rangsangan paling berkesan adalah  hisapan bayi. Jadi ajarlah bayi menyusu terus daripada ibu di samping tingkatkan kekerapan mengepam. Bayi baru lahir biasanya menyusu 10-12 kali dalam tempoh 24 jam (bermakna setiap 2 jam sekali). Jika bayi tidak direct feeding, gantikan dengan mengepam dalam kekerapan yang sama. Teruskan mengepam walaupun hasilnya hanya 0.5 atau 1 oz sahaja. Kekerapan mengepam akan memberi signal kepada otak bahawa permintaan terhadap susu adalah tinggi dan ini akan merangsang lebih hormon prolaktin dirembeskan untuk merangsang penghasilan susu. Tetapi hal ini bukanlah boleh berlaku dalam sehari dua tetapi memerlukan masa untuk berjaya.

Faktor jenis pam juga memainkan peranan.  Pam yang tidak selesa dan menyakitkan mungkin akan membantutkan usaha menambah pengeluaran susu kerana ibu menjadi stress apabila dalam kesakitan apatah lagi apabila melihat hasil yang kurang memberangsangkan. Lebih memburukkan keadaan apabila puting ibu melecet akibat menggunakan pam yang menyakitkan. Pilih pam yang baik dan mengikut ritma hisapan bayi. Atau pun ibu boleh memerah dengan tangan, kurang menyakitkan tetapi perlukan teknik yang betul.

Di samping itu, ibu harus menjaga permakanan. Makan makanan yang seimbang dan awasi kalau-kalau ibu makan makanan atau ubat-ubatan (termasuk pil perancang) yang mengganggu penghasilan susu ibu. Jaga emosi, jangan stress dan tanamkan keazaman yang tinggi untuk memberi yang terbaik untuk anak kita.

Semoga berjaya Hayati.

p/s Artikel ini juga untuk Liza (Ipoh) yang telefon saya pagi tadi mengenai masalah yang sama. Semoga berjaya Liza.

Selamat Datang
Selamat Datang ke laman blog Mom's Choice. Semoga bakal ibu (dan bapa) mendapat manfaat daripada pengkongsian ilmu berkaitan Penyusuan Ibu dalam laman ini.
Takwim
July 2017
M T W T F S S
« Jun    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  
Tags