Kekangan dalam menjayakan Penyusuan Ibu

Kekangan dalam menjayakan Penyusuan Ibu

Seringkali ibu-ibu baru yang bercadang untuk menyusukan anaknya dengan susu ibu secara eksklusif akan menghadapi kekangan dan cabaran seperti berikut:

  1. Kita hidup di dalam masyarakat yang menganggap penyusuan susu formula adalah lumrah (perkara biasa) untuk bayi.
  2. Masyarakat sedar penyusuan ibu adalah baik untuk bayi dan ibu tetapi susu formula masih dilihat pilihan yang baik, tambahan pula dalam keadaan penyusuan ibu tidak begitu berjaya.
  3. Ibu-ibu baru tidak mendapat sokongan keluarga, saudara mara dan rakan-rakan yang menyokong penyusuan ibu atau yang berjaya dalam penyusuan ibu untuk berkongsi pendapat, pengetahuan dan pengalaman.
  4. Profesional kesihatan seperti doktor dan jururawat menerima penyusuan susu formula adalah penyelesaian kepada masalah penyusuan ibu tanpa memberi nasihat /cadangan bagaimana mengatasi masalah penyusuan ibu yang dialami.
  5. Agensi kerajaan tidak memahami kepentingan penyusuan ibu dan mengapa kerajaan harus memperbanyakkan usaha mempromosikan penyusuan ibu.
  6. Media massa memperoleh pendapatan lumayan daripada pengiklanan susu formula tanpa menghiraukan kesan buruk pengaruhnya kepada masyarakat umum.
  7. Syarikat susu formula membelanjakan wang yang banyak untuk promosi yang ada ketikanya melanggar etika yang digariskan dalam kod etika WHO berkaitan promosi dan pemasaran susu formula.
  8. Pandangan umum mengatakan ibu-ibu tidak perlu merasa “bersalah” sekiranya tidak menyusukan anak mereka dengan susu ibu. 

Pendapat umum #1: Kita selalu menganggap jika penyusuan ibu tidak berjaya, penyusuan susu formula adalah pilihan kedua terbaik untuk menyusukan bayi.

Hakikatnya: WHO telah menggariskan secara jelas bahawa susu formula bukanlah pilihan kedua terbaik selepas susu ibu. Pilihan kedua ialah penyusuan susu ibu yang diperah. Jika gagal juga maka pilihan ketiga ialah susu ibu daripada ibu susuan. Jika tidak dapat diperolehi maka barulah susu formula boleh diberikan kepada bayi (pilihan keempat!)

Pendapat umum #2: Profesional perubatan seperti doktor dan jururawat tahu banyak perkara berkaitan penyusuan ibu (atau penyusuan yang sesuai untuk ibu berikan kepada bayinya).

Hakikatnya: Memang semua profesional perubatan menyokong penyusuan ibu kerana agak sukar menafikan kebaikan susu ibu berbanding susu formula. Tambahan pula hampir semua hospital telah menggariskan polisi penyusuan ibu di hospital masing-masing. Namun ramai profesional perubatan tidak dapat membantu ibu sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah berkaitan penyusuan ibu. Ketidakupayaan ini mungkin berpunca daripada pengalamannya sendiri. Pasti sukar memberi nasihat atau galakan kepada ibu-ibu untuk menyusukan bayinya dengan susu ibu sedangkan diri sendiri gagal memberikan susu ibu kepada anaknya. Malah ramai doktor mengakui penyusuan ibu tidak ada di dalam sukatan pelajaran ketika di universiti.

Kenalpasti antara tanda-tanda atau petunjuk seseorang profesional perubatan (doktor/jururawat) menyokong penyusuan ibu:

  • Tidak mempamerkan bahan cetak atau logo mana-mana syarikat pengeluar susu formula di kliniknya termasuk carta pertumbuhan kanak-kanak.
  • Poster, brosur dan maklumat penyusuan ibu dipamerkan di klinik.
  • Menyenaraikan kumpulan sokongan yang boleh dirujuk oleh ibu-ibu sekiranya menghadapi masalah penyusuan ibu.
  • Tidak menyebarkan brosur atau risalah (walaupun berkaitan penyusuan ibu) daripada syarikat pengeluar susu formula.
  • Tidak memberikan “gift pack” berupa sampel susu formula.
  • Sebelum bersalin, ibu-ibu diberi nasihat dan panduan berkaitan penyusuan ibu dan kepentingan penyusuan ibu pada 1 jam pertama selepas kelahiran.

 Kod Antarabangsa Pemasaran Susu Formula (1981).

  • Syarikat pengeluar susu formula tidak boleh memasarkan secara terus sebarang produk (susu formula, botol atau puting tiruan, dan makanan tambahan) kepada pengguna. Wakil syarikat pengeluar tidak dibenarkan mempromosikan produk mereka kepada wanita hamil, ibu-ibu baru atau ahli keluarga mereka terutamanya di wad bersalin, klinik atau hospital.
  • Syarikat pengeluar susu formula tidak dibenarkan memberikan sampel percuma atau potongan harga istimewa kepada wanita hamil, ibu-ibu baru atau ahli keluarga mereka.
  • Informasi saintifik berkaitan susu formula hanya boleh diberikan kepada profesional perubatan.
  • Informasi berkaitan penyusuan untuk bayi hanya boleh diberikan oleh kerajaan bukannya oleh syarikat pengeluar susu formula.
  • Semua sumbangan derma atau peralatan perubatan daripada syarikat pengeluar susu formula kepada pihak tertentu (klinik / hospital) perlu diumumkan secara terbuka dan tiada keistimewaan boleh diberikan kepada syarikat tersebut kerana sumbangannya itu. 

Persoalannya.. adakah kod etika ini dipatuhi sepenuhnya di negara kita??

Sumber: The Ultimate Breastfeeding Book of Answers by Jack Newman, M.D., and Teresa Pitman.

Puting Leper (Flat Nipples) dan Puting Tenggelam (Inverted Nipples)

Puting Leper (Flat Nipples) dan Puting Tenggelam (Inverted Nipples)

Semua ibu dilahirkan dengan keunikan yang tersendiri. Namun fungsi payudara tetap telah ditentukan untuk penyusuan susu ibu kepada bayi. (Kerana dari situlah kita dikategorikan sebagai mamalia).

Keadaan puting leper (flat nipples) dan puting tenggelam (inverted nipples) boleh terjadi di kalangan 3-10% daripada populasi. Namun begitu keunikan yang tersendiri ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang ibu-ibu terus berusaha untuk menyusukan bayi dengan susu ibu.

Bagaimana menentukan keadaan puting adalah normal, leper atau tenggelam?

Caranya: Dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, picit dengan lembut kawasan areola pada jarak diameter 1 inci daripada puting. 

Puting yang normal akan tertonjol apabila dikenakan tekanan pada areola. Tetapi puting leper tidak tertonjol keluar manakala puting tenggelam akan tertarik ke dalam. Lihat Rajah di bawah:

"Pinch Test" Untuk Menentukan Puting Normal, Leper atau Tenggelam
"Pinch Test" Untuk Menentukan Puting Normal, Leper atau Tenggelam

Bolehkah menyusukan bayi jika puting leper atau tenggelam?

Ibu-ibu perlu yakin bahawa walau bagaimanapun bentuk dan keadaan puting (sama ada leper atau tenggelam) bayi masih boleh menyusu dengan efektif. Ibu-ibu perlu:

  1. Tetapkan keyakinan bahawa ibu boleh menyusukan bayi dengan efektif.
  2. Fahami bahawa semasa penyusuan, mulut bayi perlu merangkum areola bukannya menghisap puting semata-mata.
  3. Latih bayi melekap dengan betul seawal kali pertama bayi mula menyusu daripada ibu (1 jam pertama selepas kelahiran). Rujuk Teknik Lekapan.
  4. Berlatih dengan kerap sepanjang masa rooming-in (ibu bersama bayi di hospital) dan sepanjang masa tanpa jemu dan putus asa.
  5. Letakkan bayi pada posisi yang betul semasa penyusuan. Rujuk Posisi Penyusuan Ibu.
  6. Pelekapan yang baik boleh membantu menonjolkan puting yang leper.
  7. Menyusu bayi sebelum payudara menjadi bengkak. Pembengkakan payudara akan merumitkan keadaan kerana puting akan menjadi lebih leper/tenggelam. (Puting normal pun sukar menyusukan bayi apabila payudara bengkak).
  8. Ibu boleh juga mengepam sebelum menyusu bayi untuk menonjolkan sedikit puting supaya mudah bayi melekap dengan berkesan.

Kesimpulannya walau bagaimanapun keadaan puting sama ada normal, leper atau tenggelam, anak-anak masih berhak mendapat susu ibu daripada ibunya. Ingat! Susu ibu adalah makanan terbaik bagi bayi.

Sumber: askdrsears.com, breastfeedingbasic.com, breastfeeding.hypermart.net, babycenter.com

Penyusuan Eksklusif perlukan usaha dan kesabaran

Penyusuan Eksklusif perlukan usaha dan kesabaran

Soalan daripada azza:

salam kak nieza….saya sedang hamil anak ke-3..saya teringin bf anak2 saya secara ekslusif tapi tak pernah berjaya. Pengalaaman saya di hospital swasta,.sebaik lepas melahirkan..nurse2 sebok nak tolong bg susu formula..Alasannye takut anak kena jaundis kalau tak cukup minum susu..Jadi saya yg tak cukup pengalaman tpaksa membiarkn mrk bg formula susu pada anak saya…
Bila balik ke rumah ..saya cuba juga bf anak..tapi dah mula campur dgn susu formula sbb suami juga risau anak tak cukup susu….Hari kedua dan ketiga susu dah mula keluar..tapi saya perasan,susu cuma keluar di tgh2 puting sahaja….kata mak saya sepatutnye puting payu dara ade lebih dr satu lubang..sebab itula anak saya tak puas bila bf. Betul ke kak niza cakap emak saya tu?

Salam azza, di sini akak beri jawapan, nasihat dan panduan:

1. Sebelum melahirkan bayi iaitu ketika hamil, tanamkan di dalam fikiran dan niatkan di dalam hati bahawa azza hendak menyusukan bayi secara eksklusif apabila bayi lahir nanti. Tanamkan sikap positif bahawa susu ibu pasti ada sebaik bayi dilahirkan nanti. Buat persediaan secukupnya termasuk usahakan utk mencari dan membaca seberapa banyak info berkaitan penyusuan ibu termasuk juga kesukaran2 yg mungkin akan berlaku supaya kita benar2 bersedia dan tidak mudah patah semangat. Ajak juga suami, ibu atau ibu mertua berkongsi info yang kita perolehi itu.

2. Sebaiknya sebelum melahirkan bayi (terutama di hospital bukan rakan bayi = hospital yg kurang menekankan bf), beritahu kepada doktor/nurse/bidan bahawa azza nak menyusukan bayi sebaik sahaja bayi lahir nanti. (baca kepentingan menyusu pada 1 jam pertama kelahiran dan amalan di hospital rakan bayi). Selepas bayi lahir pun jika nurse tidak membawa bayi kpd azza, minta nurse ambilkan bayi segera. Jika kelahiran secara ceaser, ibu kena pandai2 adjust position supaya tidak menyakitkan bhg pembedahan (lihat posisi penyusuan ibu).

3. Untuk mengelakkan dan mengurangkan jaundis pada bayi baru lahir, penyelesaian terbaik ialah dengan memberi bayi susu ibu secukupnya BUKAN dengan susu formula!

4. Pada hari2 awal (hari 1-3) biasanya susu ibu yang putih dan cair belum lagi muncul. Ini menyebabkan ramai ibu membuat kesimpulan bahawa mereka “tidak ada susu”, “kurang susu”, “memang keturunan tak banyak susu” (mak sendiri pun pernah cakap camni!) dan macam2 lagi kesimpulan yg negatif. Hakikatnya susu yang hadir ketika itu hanyalah kolostrum yg pekat, berwarna kekuningan dan sedikit. Namun yg pekat, kuning dan sedikit itulah makanan terbaik dan mencukupi utk bayi baru lahir. JANGAN buang kolostrum itu kerana kolostrum hanya hadir sekali itu sahaja sepanjang hayat anak itu! Baca info mengenai kolostrum selanjutnya.

5. Mulai 1 jam pertama kelahiran, beri bayi menyusu seberapa kerap yg bayi mahu atau setiap 1-2 jam sekali. Penyusuan kerap akan merangsang penghasilan lebih banyak susu. Maka tidak akan terjadi isu “tiada susu” atau “susu kurang”.  Memberi bayi susu formula atau air masak akan mendedahkan bayi kepada “pencemaran”. Sebab itu penyusuan eksklusif bermaksud SUSU IBU SAHAJA tanpa susu formula atau air masak sekali pun. Baca selanjutnya kenapa bayi kurang 6 bulan tidak perlu air tambahan.

6. Pada setiap puting ada lebih kurang 15-20 liang susu. Liang2 ini perlu dibersihkan supaya tidak tersumbat dan memudahkan pengaliran keluar air susu ibu. Selalu dinasihatkan pada akhir kehamilan, ibu2 digalakkan mencuci liang2 puting dengan air bersih ketika mandi pagi. Sekali sudah mencukupi… jgn kerap2 kerana tindakan ini dikhuatiri merangsang pengecutan rahim pula. Elakkan menggunakan sabun kerana ia boleh menyebabkan kawasan puting menjadi kesat.

Harap jawapan ini dapat memjadi panduan untuk azza dan juga ibu2 lain. Semoga berjaya menyusukan anak ke3 ini secara eksklusif. 🙂

Penyusuan Susu Ibu yang Berkesan

Penyusuan Susu Ibu yang Berkesan

Apabila ibu-ibu menyusukan bayi, perhatikan tanda-tanda penyusuan ibu yang berkesan seperti berikut:

  1. Tanda penghisapan yang berkesan
    1. hisapan perlahan dan dalam
    2. nada hisapan: hisap-telan-hisap-telan
    3. dengar bunyi bayi menelan
    4. hisapan cepat dan cetek
  2. Kekerapan penyusuan
    1. susukan bayi dengan kerap mengikut kemahuannya, “on-demand feeding
    2. sentiasa bersama bayi supaya boleh menyusukannya dengan kerap
    3. minggu pertama – susukan bayi lebih kerap
    4. bayi yang tidur lama (lebih daripada 2-3 jam) perlu digerakkan untuk disusukan
    5. menyusu kerap pada waktu malam
    6. purata penyusuan 8-12 kali dalam 24 jam
  3. Tanda bayi mendapat cukup susu
    1. bayi berhenti sendiri apabila kenyang
    2. penyusuan kerap 8-12 kali dalam 24 jam
    3. kencing lebih 6 kali dalam 24 jam
    4. kekerapan membuang air besar yang normal (4-8 kali dalam 24 jam)
    5. bayi kelihatan puas, ceria dan kulit bayi sihat
    6. payudara ibu penuh sebelum menyusu dan ‘ringan’ selepas menyusu
  4. Memberhentikan penyusuan
    1. biar bayi melepaskan puting payudara dengan spontan
    2. payudara kedua diberi selepas bayi selesai menghisap payudara pertama
    3. berikan kedua-dua payudara secara bergilir selagi bayi hendak terus menyusu
    4. jangan alihkan bayi dari payudara selagi dia sedang menyusu kecuali untuk membetulkan pelekapan
    5. untuk memberhentikan pelekapan bayi, masukkan jari kelingking ke tepi mulut bayi untuk mengeluarkan puting payudara dari mulutnya

Adaptasi daripada Booklet Penyusuan Susu Ibu, PPUM