Posts Tagged ‘susu perahan’

Mencairkan Perahan Susu Ibu yang disejukkan/dibekukan

Haba dan kepanasan melampau boleh memusnahkan enzim, antibodi dan komponen-komponen nutrien penting dalam susu ibu. Oleh itu perahan susu ibu yang disejukkan atau dibekukan perlu dicairkan dengan kaedah yang betul untuk mengurangkan kehilangan nutrien daripadanya.

thaw

Ikuti langkah-langkah berikut:

1. Untuk susu perahan yang disimpan di bahagian sejuk di dalam peti sejuk;

  • Lalukan bekas/botol susu di bawah aliran air pili untuk beberapa ketika.
  • Rendam botol di dalam bekas/mangkuk berisi air panas/air didih selama 5 minit. Jika air menjadi sejuk dan susu belum mencapai suhu yang diingini, tukarkan air rendaman dan rendam lagi untuk beberapa ketika.
  • Jika anda dapati susu di dalam botol terpisah kepada 2 bahagian, goyangkan botol beberapa ketika untuk mencampurkan bahagian2 yang terpisah dan menyamaratakan suhunya.
  • Rasai suhunya sekali lagi sebelum menyusukan bayi anda

2. Untuk susu perahan yang disimpan di bahagian sejuk beku (freezer);

  • Turunkan beberapa botol (ikut keperluan) susu beku daripada bahagian sejuk beku (freezer) ke rak atas bahagian sejuk di dalam peti sejuk anda pada sebelah malam supaya pencairan boleh berlaku secara perlahan-lahan. Ini juga akan menjimatkan masa pencairan apabila hendak memberikan kepada bayi nanti.
  • Apabila bersedia untuk memberikannya kepada bayi, keluarkan 1 botol daripada peti sejuk dan cairkan serta panaskan susu seperti langkah 1 di atas.

TIPS PENTING:

  1. Gunakan susu perahan yang paling lama disimpan (pastikan tarikh perahan susu dicatat pada botol/bekas sebelum menyimpan susu). Rujuk artikel Penyimpan Susu Ibu.
  2. Cairkan dan panaskan susu perahan hanya dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.
  3. Susu yang sudah dicairkan dan dipanaskan tidak boleh disimpan di dalam peti sejuk semula (walaupun tidak diminum oleh bayi). Susu ini perlu dihabiskan dalam masa 4-6 jam.
  4. Susu perahan yang tidak habis diminum oleh bayi boleh disimpan (dalam suhu bilik) untuk tempoh 2-3 jam dan beri kepada bayi pada penyusuan seterusnya.
  5. Susu beku yang telah diturunkan ke bahagian sejuk peti sejuk tidak boleh dibekukan semula. Susu ini perlu dihabiskan dalam tempoh 24 jam (dikira daripada masa menurunkannya daripada bahagian sejuk beku).
  6. Susu yang telah disimpan di dalam peti sejuk hanya bertahan selama 7 hari. Selepas 7 hari susu yang belum sempat digunakan boleh dinaikkan ke bahagian sejuk beku untuk memanjangkan tempoh penyimpanannya. Tetapi bau dan rasanya mungkin sedikit berubah kerana susu yang disimpan lama di dalam peti sejuk boleh menyerap bau daripada peti sejuk.

TIDAK BOLEH:

  • TIDAK BOLEH panaskan susu perahan terus di atas api dapur.
  • TIDAK BOLEH panaskan di dalam ketuhar gelombang mikro (microwave oven).
  • TIDAK BOLEH didihkan susu perahan.
  • Sebab & alasan: susu akan menjadi terlalu panas dan boleh mencederakan bayi, komposisi nutrien juga akan termusnah oleh kepanasan melampau.

Susu perahan juga boleh dipanaskan menggunakan pemanas (warmer):

autumnz home warmer

Sumber: askdrsears.com, babyfriendlyhalton.ca

Penyimpanan Susu Ibu

Susu ibu yang diperah boleh disimpan untuk diberikan pada bayi sepanjang ketiadaan ibu bersama bayi. Susu ibu mengandungi sel hidup, oleh itu susu ibu yang diperah perlu disimpan dengan kaedah yang betul untuk memastikan kandungan nutriennya terpelihara dan tidak musnah. Susu ibu sebenarnya mempunyai bahan anti-bakteria yang membolehkannya kekal segar dan tahan lama.

Bekas yang sesuai untuk menyimpan susu perahan:

  • bekas plastik atau botol susu bebas BPA (Bisphenol-A)
  • bekas kaca atau bekas plastik berbucu keras (seperti Tupperware)
  • breast milk storage liners yang memang dikhususkan untuk menyimpan perahan susu ibu

Susu ibu yang diperah boleh disimpan di dalam keadaan dan tempoh masa berikut:

  1. Di dalam suhu bilik (19 hingga 26 °C), tahan sehingga 4 jam
  2. Di dalam bekas penyejuk (cooler bag/box) (kurang 4 °C), tahan sehingga 12-24 jam
  3. Di dalam peti sejuk (kurang 4 °C), tahan sehingga 7 hari
  4. Di dalam peti sejuk bahagian beku (-18 hingga -20 °C), tahan antara 3 hingga 6 bulan
Expressed Breast Milk (EBM)

Expressed Breast Milk (EBM)

Panduan asas penyimpanan susu ibu:

  • bekas penyimpanan susu hendaklah dibasuh dengan bersih menggunakan sabun, dibilas dengan air didih dan dikeringkan dengan sempurna sebelum digunakan
  • catatkan tarikh perahan pada bekas susu sebelum menyimpannya
  • simpan susu dalam kuantiti mencukupi untuk 1 kali penyusuan untuk 1 bekas, contohnya 2 – 4 oz sahaja setiap bekas
  • jangan penuhkan bekas sehingga ke penutupnya, tinggalkan sedikit ruang untuk membolehkan pengembangan berlaku apabila susu dibekukan
  • susu yang hendak dibekukan sebaiknya hendaklah disimpan di bahagian sejuk terlebih dahulu sebelum dipindahkan ke bahagian beku peti sejuk
  • jangan simpan susu perahan di bahagian pintu peti sejuk kerana suhu di bahagian pintu tidak stabil (kerana kekerapan membuka dan menutup pintu peti sejuk)
  • sebaiknya simpan susu perahan di bahagian paling atas dan paling dalam kerana suhunya lebih stabil dan malar
  • jika menggunakan bekas penyejuk (cooler bag) pastikan ice pack yang digunakan mencukupi, ganti jika perlu dan kurangkan kekerapan membuka bekas penyejuk

Maklumat Tambahan

(berdasarkan soalan-soalan yang dikerap ditanya di dalam komen-komen di bawah)

1. Susu yang diperah di pejabat boleh disimpan di dalam peti sejuk di pejabat (jika ada) dan dibawa balik menggunakan cooler bag yang berisi ice pack yang mencukupi untuk perjalanan pulang ke rumah (walaupun perjalanan ke rumah hanya 10 minit, pastikan susu perahan kekal sejuk). Sampai di rumah, bolehlah pindahkan ke peti sejuk di rumah sama ada hendak letakkan di bahagian bawah (sejuk biasa) atau di bahagian atas (freezer). Tidak digalakkan membekukan susu semasa di pejabat kerana susu beku lebih sukar diuruskan (kerana kita perlu memastikan ia dibawa balik dalam keadaan beku dan tidak boleh mencair walaupun sedikit).

2. Jika susu beku sudah mencair (walaupun sedikit), susu tersebut tidak boleh lagi dibekukan semula. Ia perlu disimpan di bahagian bawah (bhg sejuk biasa) malah perlu dihabiskan (digunakan) dalam tempoh 24 jam dari masa ia mula mencair.

3. Susu perahan lebih baik disimpan di bahagian sejuk biasa berbanding bahagian beku (freezer) jika susu perahan itu adalah stok untuk beberapa hari. Sekiranya pada hari ke-5 susu perahan tersebut belum digunakan maka bolehlah naikkannya ke bahagian beku untuk memanjangan tempoh hayatnya.

4. Susu perahan yang dibekukan akan kehilangan beberapa nutrien dan antibodi akibat proses pembekuan namun komposisinya masih JAUH LEBIH BAIK berbanding susu formula. Oleh itu ibu perlu memberi susu  segar (secara direct feeding), susu perahan yang disejukkan dan susu perahan yang dibekukan untuk mengimbangi keperluan nutrien dan antibodi bayi.

5. Susu perahan yang telah dipanaskan, diberikan kepada bayi tetapi tidak habis diminum. Ibu-ibu masih boleh menyimpan susu tersebut ke dalam peti sejuk semula untuk penyusuan berikutnya (anggaran masa tidak lebih dari 2 jam). Jika pada penyusuan kedua tidak juga dihabiskan maka susu tersebut perlu dibuang.

Sumber: Le Leche League

Gambar ihsan Rizua (thanks ya! 🙂 )

Selamat Datang
Selamat Datang ke laman blog Mom's Choice. Semoga bakal ibu (dan bapa) mendapat manfaat daripada pengkongsian ilmu berkaitan Penyusuan Ibu dalam laman ini.
Takwim
April 2017
M T W T F S S
« Jun    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
Tags