Induced Lactation (Mencetuskan Penyusuan Ibu)

Induced Lactation (Mencetuskan Penyusuan Ibu)

Artikel ini ditujukan khusus kepada ibu-ibu yang mengambil anak angkat dan berusaha untuk menjadi ibu susuan kepada anak angkat.

Mencetuskan penyusuan ibu atau induced lactation bagi ibu angkat yang hendak menyusukan anak angkat bukanlah perkara mudah kerana biasanya ibu-ibu ini tidak pernah hamil atau tidak pernah melahirkan anak sebelum itu. Jadi proses pembentukan dan kematangan kelenjar mamari seperti yang dialami semasa proses kehamilan tidak pernah berlaku kepada ibu-ibu ini. Namun begitu ini tidak boleh menjadi penghalang untuk ibu-ibu angkat berusaha untuk menghasilkan susu ibu untuk diberikan kepada anak angkat mereka.

Memberikan susu ibu kepada anak angkat bukanlah semata-mata untuk tujuan menjadikan anak itu muhrim kepada ibu bapa angkat tetapi lebih kepada memberikan makanan terbaik untuk bayi. Susu ibu tetap yang terbaik berbanding susu formula. Seperti yang dinyatakan oleh Dr Jack Newman di dalam bukunya, “The Ultimate Breastfeeding Book of Answers”, susu formula bukanlah pilihan kedua terbaik selepas susu ibu. Susu formula adalah pilihan keempat selepas susu perahan ibu dan susu ibu dari ibu susuan.

Semasa kehamilan badan wanita akan meningkatkan penghasilan hormon progesteron dan estrogen (dirembeskan oleh ovari) dan hormon prolaktin (dirembeskan oleh kelenjar pituitari) untuk menyediakan payudara untuk penyusuan ibu. Di akhir kehamilan, aras progesteron dan estrogen akan menurun manakala aras prolaktin akan bertambah untuk memulakan penghasilan dan pengeluaran susu ibu di payudara. Prosedur inilah yang cuba ditiru untuk membolehkan ibu-ibu yang tidak pernah hamil mengalami proses mencetuskan susu ibu di payudara mereka. Apabila susu ibu sudah berjaya dihasilkan maka langkah seterusnya menjadi lebih mudah iaitu meningkatkan dan mengekalkan penghasilan susu ibu.

Bilakah induced lactation harus bermula?

Sebaik-baiknya lebih awal bermula lebih baik hasil yang akan diperoleh dalam usaha untuk mencetuskan susu ibu. Sebagai contoh, ibu boleh bermula 6 bulan atau lebih awal sebaik sahaja mengambil keputusan menerima bayi angkat untuk menyediakan susu ibu kepada bakal bayinya.

Persediaan bagi ibu yang mempunyai masa 6 bulan:

  1. 6 bulan sebelum jangkaan bayi lahir; makan pil perancang (Yasmin atau Microgestin) setiap hari bersama 10 mg Domperidone 4 kali sehari selama 1 minggu. Penggunaan pil perancang pada peringkat awal ini adalah bertujuan merencat penghasilan susu ibu sebagaimana proses yang berlaku di awal kehamilan.
  2. Selepas seminggu, tingkatkan dos Domperidone kepada 20 mg 4 kali sehari. Payudara akan mengalami sedikit perubahan saiz dan ini adalah normal.
  3. Teruskan kekalkan dos yang sama sehingga 6 minggu sebelum tarikh jangkaan bayi lahir.
  4. 6 minggu sebelum bayi lahir; hentikan pengambilan pil perancang tetapi teruskan dos 20 mg Domperidone 4 kali sehari. Menghentikan pil perancang pada peringkat ini akan mengurangkan aras progesteron dan meningkatkan penghasilan prolaktin pula untuk persediaan mencetuskan susu ibu.
  5. 2 minggu kemudian, ibu boleh mula mengepam setiap 3 jam. Sebaiknya gunakan pam elektrik (double pumping hospital grade brastpump )untuk mendapatkan hasil yang baik. Apabila ibu mula mengepam ibu-ibu boleh menambah makanan penggalak susu ibu dalam nutrisi mereka seperti Fenugreek (halba) dan oat. Ibu juga harus minum banyak air tetapi kurangkan pengambilan kopi (minuman berkafein) kerana kafein boleh mengurangkan kandungan air dalam badan.
  6. Pada peringkat ini susu ibu sepatutnya sudah hadir tetapi dalam kuantiti yang sedikit dan warna putih yang jernih sebelum mendapat susu sebenar selepas beberapa hari/minggu.
  7. Sebaik bayi lahir (jika boleh) ibu boleh terus cuba menyusukan bayi pada payudara ibu. Alternatif lain yang lebih baik, ibu sebenar boleh menyusukan bayinya kerana kolostrum daripada ibu adalah makanan paling baik untuk bayi baru lahir.

Persediaan bagi ibu yang mempunyai masa kurang daripada 6 bulan:

  1. Makan pil perancang (Yasmin atau Microgestin) setiap hari selama 30-60 hari bersama 20 mg Domperidone 4 kali sehari. Penggunaan pil perancang pada peringkat awal ini adalah bertujuan merencat penghasilan susu ibu sebagaimana proses yang berlaku di awal kehamilan.
  2. Selepas 30 hari, jika berlaku perubahan pada payudara (saiz bertambah, rasa tegang dan penuh) hentikan pengambilan pil perancang tetapi kekalkan dos Domperidone 20 mg 4 kali sehari.
  3. Ibu juga boleh mula mengepam. Sebaiknya gunakan pam elektrik (double pumping hospital grade brastpump )untuk mendapatkan hasil yang baik. Makan makanan penggalak susu ibu seperti Fenugreek (halba) dan oat,  minum banyak air.
  4. Sama seperti saranan di atas, ibu angkat boleh terus cuba menyusukan bayi sebaik bayi lahir.

Kes yang pernah terjadi kepada rakan saya yang mengambil anak angkat dan melakukan proses induced lactation sebulan sebelum kelahiran bayi angkatnya. Pada hari bayi dilahirkan ibu sebenar tidak mahu menyusukan bayinya (sedih sekali!) dan terus menyerahkan bayi kepada ibu angkat pada hari kedua bayi lahir…  Ibu angkat berusaha menyusukan anak angkatnya walaupun kuantiti susu masih belum mencukupi! Namun beliau berjaya mencetuskan susu ibu untuk diberikan kepada bayi angkatnya.

Ringkasnya, mencetuskan susu ibu ada 4 fasa:

Fasa 1: makan pil perancang dan Domperidone untuk membolehkan badan “meniru” proses pembentukan kelenjar mamari sebagaimana yang berlaku semasa proses kehamilan.

Fasa 2: hentikan pil perancang tetapi teruskan Domperidone untuk mencetuskan penghasilan susu ibu.

Fasa 3: memerah susu untuk menggalakkan penghasilan dan pengeluaran susu ibu.

Fasa 4: beri bayi menyusu terus daripada payudara ibu untuk meningkatkan rangsangan ke atas payudara untuk menggalakkan penghasilan lebih banyak susu.

Nasihat saya kepada ibu (ibu angkat):

  1. Susu ibu tetap makanan terbaik bagi bayi baru lahir. Sebaiknya susukannya sekurang-kurang selama 6 bulan pertama hayatnya.
  2. Ibu harus berfikiran positif, cekal, sabar dan mempunyai keyakinan yang tinggi untuk berjaya mencetuskan susu ibu. Penghasilan susu ibu bergantung kepada tindak balas hormon dan rembesan hormon bergantung kepada “arahan” daripada otak. Jadi “didik”lah otak supaya ia mahu bekerjasama dengan kita utk menghasilkan susu ibu yang mencukupi untuk bayi kita.
  3. Latih bayi menyusu terus dari payudara ibu untuk meningkatkan rangsang ke atas payudara untuk menghasilkan lebih banyak susu. Jika perlu alat SNS (rujuk rajah di bawah) boleh digunakan.
  4. Jangan perkenalkan puting tiruan kepada bayi. Walaupun ketika susu ibu masih belum mencukupi dan ibu terpaksa memberi susu formula kepada bayi, sebaiknya beri menggunakan sudu atau cawan kecil bagi mengelak bayi keliru puting.
  5. Jika masalah keliru puting berlaku lebih sukar memujuk bayi menyusu daripada payudara ibu. Kesannya payudara kurang dirangsang maka penghasilan susu akan berkurangan.
  6. Dapatkan nasihat doktor dan pakar laktasi untuk membincangkan penggunaan pil dan ubat-ubatan di atas. Kenalpasti juga kesan sampingan yang mungkin berlaku dengan penggunaan ubat-ubatan tersebut. Namun begitu ibu harus kuat, tabah dan yakin bahawa “susu ibu makanan terbaik bagi bayi”.
MEDELA Supplemental Nursing System (SNS)
MEDELA Supplemental Nursing System (SNS)

 

cup feeding
Teknik “Cup Feeding”: Bayi menghirup susu daripada cawan kecil (bukannya menuang susu ke mulut bayi)

Sumber: www.asklenore.info

Melatih bayi yang “keliru puting”

Melatih bayi yang “keliru puting”

Soalan daripada Hayati;

salam kak nieza….sy dah melahirkan baby 1bln yg lebih. bayi saya tlh keliru puting akibat kesilapan sy sendiri. adakah pengeluaran susu akan bertambah jika hanya dgn mengepam tanpa bayi menyusu direct?sekarang susu sy hampir kering dan ini myebabkan bayi sy menolak utk menyusu badan .sy juga rasa putus asa utk terus mengepam susu…sy betul2 rasa tertekan, bantulah saya….

salam hayati,

ada 2 persoalan besar di sini:

  1. bayi telah keliru puting
  2. adakah susu akan bertambah dengan mengepam sahaja tanpa direct feeding

Umur bayi Hayati baru 1 bln bermakna masih dalam pantang lagi. Masih belum terlambat utk melatih bayi latch on dengan betul dan kembali kepada direct feeding dan juga fully breastfeeding (saya rasa bayi telah diperkenalkan dengan susu formula). Kalau bayi sudah biasa minum susu formula harus hentikan pemberian susu formula dan fokuskan kepada direct feeding sahaja. Pastikan bayi menyusu setiap 1-2 jam sehingga bayi mahir untuk latch on dengan baik. Bayi dilahirkan dengan naluri hisapan yang kuat tetapi pengenalan terlalu awal kepada puting tiruan akan menyebabkan dia lebih selesa menyusu melalui botol kerana lebih senang untuk mendapatkan susu tanpa perlu menggunakan otot mulut dengan kuat.

Untuk melatih bayi kembali kepada direct feeding perlukan usaha kuat dan kesabaran yang tinggi. Pujuk bayi dengan bercakap-cakap dengannya memintanya menyusu pada payudara ibu. Beri dia menyusu ketika dia belum terlalu lapar sehingga mengamuk. Menyusulah dalam posisi yang selesa bagi ibu dan bayi sama ada dalam keadaan duduk atau berbaring. Bayi mungkin akan menguji kesabaran kita dengan cara “mengamuk” dan menolak payudara ibu. Ibu jangan putus asa sehingga mengalah dan akhirnya memberi susu formula di dalam botol kerana kasihan bayi lapar, menangis dan takut perut masuk angin. Inilah rasionalnya proses ini dilakukan ketika bayi belum terlalu lapar. Jika bayi masih menolak dan ibu gagal pada percubaan pertama, beri bayi minum susu ibu yang diperah dengan menggunakan sudu (jangan guna botol dan puting tiruan kerana ia akan memberi signal kepada bayi bahawa adanya alternatif menyusu yang lebih senang dan bayi akan mengulangi taktik yang sama iaitu menangis dan mengamuk). Selepas beberapa ketika cuba ajar lagi bayi menyusu dari payudara ibu. Jangan putus asa kerana Hayati masih dalam pantang dan masih bersama bayi sepanjang masa. Keadaan akan lebih mencabar jika ditangguhkan apatah lagi jika telah kembali bekerja.

Kekurangan susu mungkin satu faktor menyebabkan bayi tidak mahu menyusu terus daripada payudara ibu. Penghasilan dan pengeluaran susu memang akan bertambah dengan kerapnya mengepam. Tetapi rangsangan paling berkesan adalah  hisapan bayi. Jadi ajarlah bayi menyusu terus daripada ibu di samping tingkatkan kekerapan mengepam. Bayi baru lahir biasanya menyusu 10-12 kali dalam tempoh 24 jam (bermakna setiap 2 jam sekali). Jika bayi tidak direct feeding, gantikan dengan mengepam dalam kekerapan yang sama. Teruskan mengepam walaupun hasilnya hanya 0.5 atau 1 oz sahaja. Kekerapan mengepam akan memberi signal kepada otak bahawa permintaan terhadap susu adalah tinggi dan ini akan merangsang lebih hormon prolaktin dirembeskan untuk merangsang penghasilan susu. Tetapi hal ini bukanlah boleh berlaku dalam sehari dua tetapi memerlukan masa untuk berjaya.

Faktor jenis pam juga memainkan peranan.  Pam yang tidak selesa dan menyakitkan mungkin akan membantutkan usaha menambah pengeluaran susu kerana ibu menjadi stress apabila dalam kesakitan apatah lagi apabila melihat hasil yang kurang memberangsangkan. Lebih memburukkan keadaan apabila puting ibu melecet akibat menggunakan pam yang menyakitkan. Pilih pam yang baik dan mengikut ritma hisapan bayi. Atau pun ibu boleh memerah dengan tangan, kurang menyakitkan tetapi perlukan teknik yang betul.

Di samping itu, ibu harus menjaga permakanan. Makan makanan yang seimbang dan awasi kalau-kalau ibu makan makanan atau ubat-ubatan (termasuk pil perancang) yang mengganggu penghasilan susu ibu. Jaga emosi, jangan stress dan tanamkan keazaman yang tinggi untuk memberi yang terbaik untuk anak kita.

Semoga berjaya Hayati.

p/s Artikel ini juga untuk Liza (Ipoh) yang telefon saya pagi tadi mengenai masalah yang sama. Semoga berjaya Liza.

Penyusuan Susu Ibu yang Berkesan

Penyusuan Susu Ibu yang Berkesan

Apabila ibu-ibu menyusukan bayi, perhatikan tanda-tanda penyusuan ibu yang berkesan seperti berikut:

  1. Tanda penghisapan yang berkesan
    1. hisapan perlahan dan dalam
    2. nada hisapan: hisap-telan-hisap-telan
    3. dengar bunyi bayi menelan
    4. hisapan cepat dan cetek
  2. Kekerapan penyusuan
    1. susukan bayi dengan kerap mengikut kemahuannya, “on-demand feeding
    2. sentiasa bersama bayi supaya boleh menyusukannya dengan kerap
    3. minggu pertama – susukan bayi lebih kerap
    4. bayi yang tidur lama (lebih daripada 2-3 jam) perlu digerakkan untuk disusukan
    5. menyusu kerap pada waktu malam
    6. purata penyusuan 8-12 kali dalam 24 jam
  3. Tanda bayi mendapat cukup susu
    1. bayi berhenti sendiri apabila kenyang
    2. penyusuan kerap 8-12 kali dalam 24 jam
    3. kencing lebih 6 kali dalam 24 jam
    4. kekerapan membuang air besar yang normal (4-8 kali dalam 24 jam)
    5. bayi kelihatan puas, ceria dan kulit bayi sihat
    6. payudara ibu penuh sebelum menyusu dan ‘ringan’ selepas menyusu
  4. Memberhentikan penyusuan
    1. biar bayi melepaskan puting payudara dengan spontan
    2. payudara kedua diberi selepas bayi selesai menghisap payudara pertama
    3. berikan kedua-dua payudara secara bergilir selagi bayi hendak terus menyusu
    4. jangan alihkan bayi dari payudara selagi dia sedang menyusu kecuali untuk membetulkan pelekapan
    5. untuk memberhentikan pelekapan bayi, masukkan jari kelingking ke tepi mulut bayi untuk mengeluarkan puting payudara dari mulutnya

Adaptasi daripada Booklet Penyusuan Susu Ibu, PPUM